Sekilas
- Pelakon Harun Hashim menyambut Ramadan tahun kedua tanpa isteri tercinta yang meninggal dunia pada 2024 akibat kanser payudara tahap empat.
- Harun sentiasa menziarahi pusara arwah isterinya setiap hari dan memilih berpuasa seorang diri di rumah daripada keluar berjalan.
- Kenangan manis bersama isteri sangat dihargai, terutama saat mereka selalu bersama dalam setiap perjalanan sebelum ini.
Tahun ini merupakan tahun kedua buat pelakon, Harun Hashim menyambut Ramadan tanpa kehadiran isteri tercinta yang telah pergi menghadap IIahi pada 2024 yang lalu.
Memendam rasa rindu yang mendalam, Harun memaklumkan bahawa dia tidak pernah terlepas daripada menziarahi pusara arwah isterinya pada setiap hari.
“Dah dua tahun saya berpuasa seorang diri dan saya lagi sanggup berseorang di rumah daripada pergi berjalan ke luar.
“Kubur dia, hari-hari saya pergi dan sebab itulah rumah saya dekat dengan kawasan kubur. Kecuali kalau saya keluar tidur rumah kawan atau ada penggambaran hingga lewat malam, itu tidaklah ke kubur.
“Orang nak kata apa, katalah tapi saya sayang dia sangat-sangat,” katanya kepada Gempak.
Tambah Harun, meskipun sudah dua tahun arwah isteri pergi meninggalkannya namun segala kenangan manis bersama tidak akan pernah terpadam.
Malah, kehilangan isterinya sangat dihargai kerana setiap perjalanan mereka sebelum pasti akan ditempuhi bersama.
“Sebelum ini kalau pergi mana-mana saya dengan dia berdua saja. Saya memandu, dia akan duduk di sebelah sambil tengok aplikasi Waze.
“Saya ini pelupa orangnya jadi dia kena selalu ada bersama saya. Jadi, amat terasalah kehilangan dia,” ujarnya.
Sekadar info, isteri kepada Harun iaitu Allahyarhamah Sakinah Ganjali menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 21 November 2024 akibat kanser payudara tahap empat pada usia 48 tahun.