Ts. Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris, yang lebih dikenali sebagai Fitri Haris UNIC, telah menerima pengiktirafan tertinggi negara melalui Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16 bagi Kategori Seni dan Kreativiti (Kelompok Seni Persembahan).
Anugerah berprestij ini disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dalam satu majlis yang berlangsung di Dorsett Grand Hotel Subang pada 24 Oktober 2025.
Advertisement
"Terima kasih kepada Universiti Utara Malaysia (@uumofficial ), khususnya Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (@scimpauum ), serta semua warga UTLC dan PERSATU UUM atas penghargaan dan sokongan berterusan yang diberikan.
"Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi untuk saya terus menghubungkan dunia akademik dan seni kreatif serta membimbing generasi penerus yang akan membawa perubahan dan penambahbaikan dalam bidang ini. Inshaa Allah," tulisnya di Instagram.
AAN merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) sebagai pengiktirafan tertinggi kepada ahli akademik yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam bidang pengajaran, penyelidikan, penerbitan, dan sumbangan kepada masyarakat, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada ilmu dan dunia kreatif antarabangsa.
Penilaian anugerah ini dijalankan melalui proses yang amat teliti dan berlapis, melibatkan panel pakar akademik, penyelidik, dan tokoh profesional daripada pelbagai universiti serta agensi kebangsaan.
Sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Inovasi di School of Creative Industry Management & Performing Arts (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Fitri Haris menonjol sebagai tokoh akademik yang berjaya mempertemukan dunia seni dan dunia akademik dalam satu ruang yang berteraskan nilai, etika, dan pendidikan.
Selain bergelar sarjana dalam bidang etnomusikologi dan muzik popular Islam, beliau juga dikenali sebagai penyanyi kumpulan nasyid tersohor UNIC yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik dakwah Malaysia selama lebih dua dekad.
Antara sumbangan beliau termasuk kajian dan penerbitan ilmiah mengenai muzik popular Islam, serta mengarah beberapa pementasan seni sebagai medium penyelidikan dan aplikasi ilmu melalui konsep edutainment di pentas tempatan dan antarabangsa seperti Istana Budaya, Zepp Kuala Lumpur, United Kingdom, Mesir, China, Indonesia, Singapura, dan persidangan atas talian di United States of America.
Dr. Fitri kini giat mempromosikan konsep Halal Entertainment bukan sahaja kepada masyarakat Islam tetapi juga kepada audiens bukan Islam sebagai sebahagian daripada identiti budaya Malaysia yang inklusif.
Beliau menekankan bahawa seni yang berasaskan nilai keinsanan dan spiritual mampu menjadi jambatan dialog antara budaya dan agama, serta memupuk persefahaman sejagat melalui muzik, pementasan, dan karya kreatif.
Di peringkat global, Dr. Fitri turut diiktiraf sebagai Future Leader oleh The British Academy, United Kingdom, hasil daripada penglibatan aktifnya dalam jaringan penyelidikan antarabangsa melibatkan muzik Islam, halal entertainment, dan diplomasi budaya.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Prof. Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan bin Ismail, Dekan Sekolah Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA, UUM), pengarah UTLC UUM, Prof. Madya Dr. Siti Noor, serta Presiden Munsyid Malaysia, Muhammad Hazamin Harun (Hazamin Inteam).