Sekilas
- Dr Fie Tawfik mengakui pengalaman perceraian menjadikan dirinya lebih berdikari dan matang dalam membuat keputusan.
- Dia percaya setiap ujian ada hikmah dan menganggap perpisahan itu sebagai ketentuan terbaik dari Allah SWT.
- Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan lafaz talak kedua Nubhan pada 26 Ogos lalu adalah sah mengikut hukum syarak.
Selepas melalui fasa perceraian bersama penyanyi, Nubhan Ahmad, doktor selebriti dan juga personaliti media sosial, Dr Fie Tawfik mengakui dirinya kini mampu berdepan ujian dalam kehidupan dengan lebih baik.
Menurut Dr Fie, pengalaman yang dilalui itu membentuk dirinya menjadi wanita yang lebih berdikari dan matang dalam membuat keputusan.
“Alhamdulillah, perpisahan ini mengajar saya banyak benda untuk menjadi lebih berdikari, bertanggungjawab pada keluarga dan juga untuk lebih mengenali diri saya kembali.
“Siapa diri saya, macam mana saya nak bawa diri pada masa akan datang, macam mana saya nak rancang untuk diri sendiri bukan sahaja untuk saya tetapi juga anak-anak,” katanya kepada Gempak.
Tambah Dr Fie, dia percaya ujian yang hadir mempunyai hikmah tersendiri dan setiap ketentuan adalah aturan terbaik daripada Allah SWT.
“Pada saya bila kita ada ujian, insya-Allah, Allah nak naikkan darjat kita dan semoga ayat itu adalah untuk saya.
“Saya mahu menjadi seseorang yang lebih baik dan apa yang kita rasa sekarang, yang kita rasa sempurna tetapi Allah tarik, itu maknanya bukan untuk kita.
“Mungkin Allah nak berikan sesuatu yang lebih baik di masa akan datang. Allah lebih tahu dan kita hanya reda, taat dan yang paling penting siapa saya disisi Nya,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.
Hakim Umamuddin Yunus menetapkan bahawa lafaz talak kali kedua yang dilafazkan Nubhan pada 26 Ogos lalu adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.