Sekilas
- Michael Patrick, pelakon Game of Thrones, meninggal dunia pada usia 35 tahun selepas berjuang dengan penyakit Motor Neuron Disease (MND) sejak 2023.
- Patrick disahkan menghidap MND pada Februari 2023 dan menolak bantuan pernafasan kerana rawatan itu memerlukan tempoh lama di hospital.
- Berita kematiannya disampaikan oleh isteri beliau, Naomi Sheehan, yang berkongsi bahawa Patrick pergi dengan tenang dikelilingi keluarga dan rakan-rakan.
Salah seorang bintang Game of Thrones, Michael Patrick meninggal dunia pada usia 35 tahun selepas ‘tewas’ berjuang dengan penyakit Motor Neuron Disease (MND) yang dihidapi sejak 2023.
MND merupakan penyakit saraf yang mengakibatkan kelemahan otot, kesukaran berjalan, bercakap, menelan dan bernafas yang menjadi semakin kronik daripada masa ke semasa.
Patrick meninggal dunia disamping isterinya, Naomi Sheehan dan keluarga di Northern Ireland Hospice pada 7 April. Berita duka itu disampaikan oleh Sheehan menerusi perkongsian di akaun media sosialnya, lapor ibtime.co.uk.
"Patrick didiagnosis dengan Motor Neurone Disease pada 1 Februari 2023. Dia dirawat selama 10 hari terakhir dan mendapat perawatan luar biasa dari tim di sana.
“Dia pergi dengan tenang dikelilingi keluarga dan teman-teman," tulis Sheehan.
Sejak menghidap MND, Patrick yang muncul dalam musim ke-enam naskhah tersebut pernah berkongsi mengenai perjuangannya melawan penyakit tersebut.
Dia pernah memberitahu peminat, doktor memaklumkan dirinya hanya memiliki masa satu tahun untuk hidup.
Malah beberapa sebelum meninggal dunia, pelakon ini berkongsi perkembangan kesihatannya di media sosial.
Bintang Ireland itu menolak untuk menerima bantuan pernafasan kerana rawatan tersebut akan membuat dirinya terpaksa ditahan di hospital sehingga setahun.
“Jadi saya dan isteri sudah lebih seminggu di hospital. Kami dengan bantuan tim pakar berbincang tentang rawatan terbaik untuk saya, salah satunya dengan mendapatkan bantuan pernafasan.
“Namun saya menolak alternatif ini kerana ia membuatkan saya perlu berada di hospital dari enam sehingga 12 bulan sebelum boleh pulang ke rumah.
“Semua pihak telah cuba melakukan yang terbaik, namun ia tidak seperti yang dirancang,” tulisnya.
Pengakuan itu menarik perhatian peminat dan pengguna media sosial yang membanjiri dengan ucapan takziah selepas Patrick meninggal dunia.