Biarpun bergelar biduanita nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak pernah meletakkan jarak terutama dalam komunikasi bersama peminatnya di media sosial.
Selain membalas komen peminat jika mempunyai waktu, Siti kini menjadi perhatian apabila tampil dengan konten-konten yang tidak melambangkan dirinya sebagai pesohor di media sosial seperti TikTok.
Advertisement
Ini termasuklah konten yang mengikut situasi semasa sekaligus membuat peminat melabelkan ‘Siti sudah rosak’.
Diminta mengulas mengenai label ‘Siti sudah rosak’ yang diberikan kepadanya, penyanyi Bukan Cinta Biasa itu hanya tergelak.
Beliau kemudian memberitahu membuat konten-konten ‘random’ untuk menceriakan pengikutnya selain teknik mendapatkan views atau tontonan yang tinggi.
“Siti sudah rosak, bahasa budak-budak masa kini kan. Konten-konten sebegitu saya lakukan secara random untuk mnceriakan pengikut. Konten santai sebab di Tiktok kalau serius sangat terutama saya juga meniaga, orang tak mahu nanti.
“Jadi konten santai sedemikian juga merupakan teknik untuk mendapatkan views yang tinggi,” kata Siti.
Malah ibu dua anak ini mengaku penghasilan konten-konten santai itu juga merupakan sisi lain seorang Siti Nurhaliza yang jarang dilihat.
“Momen sedemikian seperti the other side of me (sisi lain Siti) yang sesekali saya buat. Kadang-kadang bila tim suruh saya buat, saya layan saja,” katanya lagi.
Menurut Siti meski tidak tahu sama ada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menonton atau tidak konten-konten yang disiarkan, beliau selalunya akan meminta izin kepada Datuk K.
“Saya tidak pasti beliau tengok atau tidak tapi biasanya saya tunjuk dan cakap. Saya buat konten sedemikian untuk suka-suka,” katanya yang memiliki 9.2 juta pengikut di Instagram dan tiga juga di TikTok.