Sekilas
- Pelakon Diana Rafar pernah berasa putus asa selepas menerima komen negatif yang mempertikaikan kelayakannya berkongsi ilmu agama dan membantu individu memeluk Islam.
- Semangat Diana kembali pulih selepas mendapat sokongan dan nasihat daripada Jabatan Agama, mufti, dan ustaz yang menegaskan bahawa kebaikan tidak perlu menunggu gelaran atau kesempurnaan diri.
- Diana terus berkongsi pengalaman rohani dan kelebihan selawat yang mendapat maklum balas positif daripada pengikut, walaupun pernah berhenti siaran langsung selama beberapa bulan kerana kritikan.
Pelakon Diana Rafar mengakui dia pernah berasa putus asa untuk membantu individu memeluk Islam susulan menerima komen negatif daripada netizen yang mengatakan dirinya tidak layak.
Menurut Diana, kritikan seperti ‘bukan ustazah’ dan dakwaan dirinya tidak cukup ilmu membuatkan dia hilang keyakinan hingga berhenti melakukan siaran langsung selama beberapa bulan.
Bagaimanapun, semangatnya kembali pulih selepas mendapatkan pandangan daripada Jabatan Agama, mufti dan beberapa ustaz.
“Saya ini pendosa, tak ada kebaikan apa yang saya buat. Tapi dengan benda-benda macam ini saya rasa boleh bantu saya dekatkan diri dengan Allah.
“Bukan sebab saya dah syahadahkan orang, saya ni perfect atau baik. Ramai juga yang kecam apa yang saya buat,” katanya kepada Gempak.
Tambahnya, nasihat daripada pihak agama banyak membuka fikirannya.
“Mereka yakinkan saya, bila kita nak buat kebaikan, kita tak perlu tunggu jadi baik atau jadi ustazah dulu. Tak perlu ada gelaran untuk sebarkan benda baik,” ujarnya.
Menurut Diana, setiap kali dia bercerita tentang pengalaman di Mekah dan Madinah, termasuk kelebihan selawat serta kisah kerohanian, ramai pengikut memberi maklum balas positif dan tersentuh hati.
“Bila saya kongsikan tentang Mekah dan Madinah dan kehebatan selawat-selawat, orang nak dengar perkongsian saya serta jadi viral.
“Jadi kenapa perlu saya berhenti? Kenapa perlu saya rasa give up, malu, rasa rendah diri? Sedangkan saya kena tengok di mana banyak yang positif daripada yang negatif.
“Kalau saya berhenti, tak kesian ke mereka-mereka yang sedang beramal dengan perkongsian saya. Memang saya down, kadang-kadang saya tak live dua tiga bulan.
“Kali ini dah empat ke lima bulan saya tak live sebab ayat-ayat seperti ‘kau bukan ustazah, siapa kau untuk kongsi benda-benda macam ini? Betul ke ada hadis? Ustaz pun tak cakap’,” katanya.
Namun bagi Diana, dia bersyukur Allah memberikan peluang dan rezeki kepadanya untuk membantu orang memeluk Islam.