Sekilas
- Vokalis Insomniacks, Iqie, memohon maaf selepas muzik video terbaru mereka bersama Yonnyboii didakwa menyerupai muzik video "Beautiful Life" oleh kumpulan K-pop, Xdinary Heroes.
- Iqie mengakui tidak pernah menonton muzik video tersebut sebelum ini dan akan mengadakan perbincangan dalaman untuk menangani isu plagiat yang timbul.
- Beliau juga berharap agar peminat tidak menyebarkan kebencian dan berjanji kumpulan akan memperbaiki keadaan serta menghasilkan karya yang lebih baik pada masa depan.
Vokalis kumpulan Insomniacks, Iqie, tampil membuat permohonan maaf selepas muzik video lagu terbaharu kumpulan itu bersama penyanyi rap Yonnyboii didakwa mempunyai persamaan dengan muzik video “Beautiful Life” nyanyian kumpulan rock Korea, Xdinary Heroes.
Isu tersebut mula diperkatakan oleh peminat muzik K-pop yang menyedari beberapa babak dalam muzik video berkenaan didakwa menyerupai konsep serta visual dalam muzik video lagu Beautiful Life.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Iqie mengakui terkejut apabila mengetahui perkara tersebut dan memaklumkan bahawa pihak mereka akan mengadakan perbincangan dalaman berhubung isu berkenaan.
“Serius sama? Ini memang tidak okey. Kami akan mengadakan perbincangan dalaman mengenai perkara ini. Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah menonton muzik video ‘Beautiful Life’ sebelum ini," katanya.
Dalam masa sama, Iqie turut menyatakan bahawa dia memahami kekecewaan peminat kumpulan Xdinary Heroes yang dikenali sebagai Villains.
Iqie juga sempat mengucapkan terima kasih kepada peminat Insomniacks yang dikenali sebagai Maniacks kerana mempertahankan mereka dalam isu tersebut.
“Saya benar-benar faham kekecewaan peminat Villains. Kami akan cuba memperbaiki keadaan ini.
“Kepada Maniacks yang mempertahankan dan melindungi kami, terima kasih. Tetapi apa yang kami lakukan adalah salah dan kami perlu bertanggungjawab atas perkara itu. Terima kasih kerana menegur kami," ujarnya.
Dalam pada itu, Iqie turut berharap agar orang ramai tidak menyebarkan kebencian terhadap peminat atau individu yang terlibat dalam pembikinan muzik video berkenaan.
Menurutnya lagi, semua pihak yang terlibat dalam penghasilan muzik video tersebut telah bekerja keras untuk menjayakannya, namun mereka sendiri tidak menyedari bahawa elemen yang digunakan berpotensi menimbulkan isu plagiat.
“Kami benar-benar memohon maaf. Tolong jangan sebarkan kebencian yang tidak perlu terhadap Maniacks atau mana-mana individu yang terlibat dalam produksi ini.
“Semua yang terlibat telah bekerja keras untuk menghasilkan muzik video ini. Kami sendiri tidak tahu bahawa kami sebenarnya meniru. Bagi pihak kumpulan saya, saya berharap semua dapat menerima permohonan maaf ini. Kami akan melakukan yang lebih baik pada masa akan datang," tambahnya.
Sumber: X Iqie