Perkongsian pelakon, Uqasha Senrose yang memuat naik sekeping foto dirinya lengkap berhias berjaya mencuri perhatian ramai.
Menerusi hantaran di Instagram, Uqasha atau pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen menulis kapsyen tentang kesetiaan dan kekuatan diri seorang wanita.
Advertisement
“Dia setia sebab itu memang dalam dirinya, bukan sebab dia perlukan kamu. Dia tetap setia walaupun hatinya terluka. Dia hadir walaupun kamu tidak.
“Dia terus memilih kamu walaupun diberi alasan untuk tidak berbuat begitu, bukan kerana lemah, tapi kerana dia berbeza.
“Kesetiaannya bukan untuk kamu, tapi cerminan hatinya. Tapi jangan kelirukan kesetiaan itu dengan kebergantungan.
“Dia boleh hidup tanpa kamu, cuma dia terlalu percaya pada kamu. Dia memberi lebih daripada yang dia dapat, tapi suatu hari nanti dia akan berhenti, bukan dengan marah, bukan dengan benci… tapi dengan kekuatan dalam diam,” tulisnya.

Ungkapan penuh emosi itu nyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya tertanya-tanya maksud tersirat di sebalik kata-kata tersebut.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk:
“Suka lah baca caption ni. Semoga yang baik-baik aja buat kalian.
“Doa yang baik untuk Uqasha dan Kamal. Semoga panjang jodoh dan dipermudahkan urusan.
“Usha… why… caption ni?
“Aduh, harap bukan in real life. Harap Uqasha dan Kamal baik-baik sahaja,” komen beberapa netizen.
Tidak kurang juga yang mengaitkan kapsyen tersebut dengan lakonan Uqasha dalam drama terbaharu, dipercayai Jika Cinta Itu Buta yang kini sedang bersiaran di Astro Prima.
“Ni mesti ada kena-mengena dengan drama baru tu, tak faham lagi plotnya,” tulis seorang pengguna.
Terdahulu, pasangan selebriti Uqasha Senrose dan Kamal Adli sebelum ini menjadi perhatian apabila dikatakan sudah tidak lagi saling mengikuti di laman Instagram, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai hubungan rumah tangga mereka.
Bagaimanapun, Kamal pernah menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perceraian adalah perkara yang hampir mustahil dilakukan kerana terlalu menyayangi keluarga kecilnya.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 10 bulan.