Peserta program realiti popular Dewi Remaja 2025, Marisa, mengakui bahawa figura terkenal tanah air, Noor Neelofa, merupakan sumber inspirasinya dalam mengimbangi dunia seni dan perniagaan.
Advertisement
Menurut Marisa atau nama sebenarnya, Nor Ara Marisa Baharudin, 20, perjalanan Neelofa daripada seorang selebriti kepada usahawan berjaya membuka matanya tentang potensi sebenar seseorang wanita dalam industri hiburan yang penuh cabaran.
“Sejujurnya, idola saya dalam kalangan bekas peserta Dewi Remaja adalah Neelofa. Saya sendiri belajar dalam bidang perniagaan, jadi bila saya lihat bagaimana Neelofa mengatur segalanya dengan begitu baik, saya sangat terinspirasi.
“Selepas Neelofa keluar dari Dewi Remaja dan menceburi bidang lakonan serta perniagaan, saya juga mengimpikan kejayaan yang seiring seperti itu,” katanya ketika ditemui Gempak baru-baru ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai cabaran sebagai wanita bertudung yang menceburi industri hiburan, Marissa tidak menafikan itu bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi apabila berdepan dengan persepsi dan kritikan netizen.
“Dalam industri ini, kita perlu sentiasa bersedia tidak kira sama ada secara mental dan fizikal, untuk apa sahaja yang akan kita hadapi.
“Kecaman itu memang sudah dijangka, terutama apabila bertudung. Orang akan mencari kesalahan, contohnya mengatakan kita tidak tutup aurat dengan sempurna atau sebagainya.
“Saya cuba untuk tidak menampakkan terlalu banyak sisi negatif. Kadang-kadang, kita sendiri tahu apa yang terbaik untuk diri kita.
“Kata-kata yang kurang manis, ada yang saya abaikan, tetapi ada juga yang saya ambil sebagai pengajaran,” katanya.
Selain Marisa, 11 lagi peserta yang turut bertanding dalam Dewi Remaja 2025 adalah Dheper, Nylea, Camelia, Elisa Chew, Teya, Suhaila, Ariana, Ellysa Ramlee, Sharmaine, Nelysa Kay dan Fittri.
Saksikan Dewi Remaja 2025, setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104) serta boleh strim secara On Demand di Astro GO dan Sooka.