Skip to main content

Filem

Daripada Universe Qodrat, ‘Badut Gendong’ Kupas Sisi Gelap Kehidupan Penghibur Jalanan, Gegar Pawagam Malaysia 25 Jun Ini

Astro Gempak 581

Sekilas

  • Filem seram aksi Badut Gendong akan ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 25 Jun, mengangkat tema kemanusiaan, trauma psikologi dan tekanan sosial dalam francais Universe Qodrat.
  • Watak Darso dalam filem ini dirancang untuk berinteraksi dengan watak Ustaz Qodrat, menunjukkan sisi gelap dan refleksi luka yang berbeza dalam kehidupan mereka.
  • Filem ini menampilkan pelakon terkenal Indonesia Marthino Lio dan menggabungkan elemen seram, aksi serta drama kemanusiaan yang kuat, dijangka mengukuhkan populariti Universe Qodrat di peringkat serantau.

Selepas mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton Indonesia, filem seram aksi Badut Gendong kini bersedia menggegarkan pawagam Malaysia bermula 25 Jun ini.

Menjadi sebahagian daripada francais Universe Qodrat, naskhah arahan Charles Gozali itu hadir dengan pendekatan berbeza apabila tidak hanya bergantung kepada elemen gangguan makhluk halus, sebaliknya mengangkat naratif kemanusiaan, kehilangan, trauma psikologi dan tekanan sosial yang jarang diketengahkan dalam filem komersial.

Di Malaysia, Universe Qodrat sudah memiliki kelompok peminat tersendiri menerusi kejayaan filem Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025) yang menerima sambutan memberangsangkan daripada penonton tempatan.

Menurut Charles, watak Darso dalam Badut Gendong diwujudkan sebagai sebahagian daripada perancangan besar pengembangan Universe Qodrat pada masa hadapan.

“Badut Gendong dicipta untuk dipertemukan dengan watak Ustaz Qodrat dalam naskhah seterusnya sebagai sebahagian daripada pengembangan universe yang lebih besar.

“Menerusi watak Darso, kami ingin menampilkan refleksi sisi gelap Qodrat. Kedua-duanya kehilangan insan tersayang, namun memilih jalan yang berbeza.

“Daripada pertembungan itu, kami mahu menunjukkan bagaimana luka yang sama boleh membentuk manusia ke arah yang berbeza,” katanya.

Tambah beliau, pengembangan dunia Universe Qodrat diharap mampu memberikan pengalaman baharu kepada peminat selain menarik generasi penonton yang lebih muda.

Sementara itu, penerbit dari MAGMA Entertainment, Linda Gozali menyifatkan pembinaan watak Darso sebagai satu usaha untuk mengetengahkan realiti kehidupan masyarakat yang sering berdepan ketidakadilan.

“Untuk melahirkan watak lawan yang setanding dengan Ustaz Qodrat bukan perkara mudah.

“Kami membina watak Darso berdasarkan realiti kehidupan hari ini, di mana ramai yang dipinggirkan dan dilupakan akibat ketidakadilan dalam masyarakat.

“Di sinilah Badut Gendong membawa makna lebih mendalam sebagai refleksi tentang keprihatinan serta kecekalan manusia untuk terus bertahan,” ujarnya.

Mewakili penerbit dari Malaysia, Ketua Peneroka Komet Productions, Datuk Ahmad Izham Omar pula menyifatkan filem tersebut sebagai sebuah karya yang mempunyai kualiti luar biasa.

“Badut Gendong merupakan sebuah cerita yang sangat menarik. Charles Gozali dengan sentuhan kreatifnya membawa penonton ke dalam dunia yang penuh misteri dan ketegangan.

“Kualiti filem ini begitu luar biasa sehingga berjaya menarik perhatian pelbagai negara,” katanya.

Filem tersebut mengisahkan Darso, seorang penghibur jalanan yang hidup serba kekurangan bersama isterinya, Darsi.

Namun, satu tragedi kehilangan mengubah seluruh kehidupannya sehingga membawa penonton menyelami bagaimana kesedihan, kemarahan dan tekanan mampu mengubah seseorang menjadi ‘raksasa’ dalam kehidupan sebenar.

Dalam konteks penceritaan, Darso dilihat sebagai simbol kemarahan golongan kelas bawahan yang terlalu lama diabaikan, sekali gus membawa mesej bahawa ‘monster’ sebenar tidak semestinya datang dari dunia ghaib, tetapi boleh lahir daripada luka yang tidak pernah sembuh.

Watak utama tersebut dibawakan pelakon terkenal Indonesia, Marthino Lio yang digandingkan bersama Clara Bernadeth, Derby Romero, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Vonny Anggraini, Totos Rasiti, Insan Nur Akbar, Barry Prima dan Jose Rizal.

Badut Gendong diterbitkan oleh MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio dan Alunan.

Dengan gabungan elemen seram, aksi dan drama kemanusiaan yang kuat, filem tersebut dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Universe Qodrat sebagai antara francais seram serantau paling berpengaruh ketika ini.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

SHEGLAM Buttery Bliss Face Blush Stick

SHEGLAM Buttery Bliss Face Blush Stick

POP MART Residents of Bikini Bottom-Whimsical Plush Part2 Blind Box (Whole Set)

POP MART Residents of Bikini Bottom-Whimsical Plush Part2 Blind Box (Whole Set)

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

adidas Football Arsenal 24/25 Third Jersey Men Blue IZ0114

adidas Football Arsenal 24/25 Third Jersey Men Blue IZ0114

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

Must Watch Video

Advertisement