Finalis UniDramaXRemaja, Cineman Pictures melakar sejarah yang tersendiri selepas berjaya dinobatkan sebagai juara untuk pertandingan tersebut.
Berjaya memikat hati juri menerusi karya Bangkai, pelajar-pelajar dari UiTM Puncak Perdana itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.
Menurut salah seorang juri, Datuk Ahmad Izham Omar, kekuatan utama sesebuah karya terletak pada penceritaan yang mampu menggerakkan emosi penonton.
Ahmad Izham turut memuji usaha produksi Bangkai dari segi nilai produksi yang dianggap cemerlang.
“Daripada pandangan saya, yang paling penting adalah cerita. Cerita yang boleh menggerakkan hati penonton. Selain itu, bagaimana kita menanam rasa ingin tahu terhadap karakter-karakter juga sangat penting.
“Dalam apa-apa bentuk karya sama ada filem, siri atau filem pendek, cerita yang bagus dan pengendalian karakter yang kuat adalah kunci. Itu yang menentukan tahap tertinggi sesebuah karya.
“‘Bangkai’ ada kelebihan tambahan kerana mereka meletakkan banyak usaha pada production value dan production design. Walaupun dihasilkan dalam format vertikal, mereka berjaya menampilkan mood lokasi dengan baik. Art direction, pencahayaan dan kerja kamera sangat bagus,” katanya kepada Gempak.
Tempat kedua dimenangi oleh Cassano Heist Production dari Kolej & Politeknik Pulau Pinang menerusi karya Missing 7, yang membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.
Manakala tempat ketiga menjadi milik Imiginasi Rembulan dari ASWARA yang menerima RM3,000, trofi serta sijil penghargaan.
Juri turut memberikan pengiktirafan khas menerusi Anugerah Pilihan Juri kepada drama One Night oleh 23II dari ASWARA yang menerima wang tunai RM500 serta sijil penghargaan atas keunikan idea dan keberanian pendekatan penceritaan.
Sekadar info, nisiatif mikro-drama universiti, UniDramaXRemaja anjuran seeNI dengan kerjasama Remaja secara rasminya melabuhkan tirai menerusi acara Watch Party yang menghimpunkan enam kumpulan terbaik daripada lima institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Watch Party tersebut menyaksikan penyertaan daripada University of Cyberjaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), UiTM Puncak Perdana, TVET UniRazak, Politeknik Seberang Perai serta Kolej Vokasional Sungai Petani. Keenam-enam kumpulan ini mempamerkan kekuatan penceritaan, keaslian idea serta keupayaan menghasilkan karya berimpak dalam format drama vertikal dan kandungan short form.
Pelbagai genre diketengahkan di peringkat akhir termasuk horor, horror komedi, drama dan romantik komedi. Kepelbagaian ini sekaligus menyerlahkan keberanian serta variasi suara generasi muda dalam mengolah naratif yang dekat dengan realiti, emosi dan pengalaman masyarakat masa kini.
Selari dengan objektif seeNI sebagai pentas baharu untuk pencipta muda mengilap bakat dan bercerita dengan berani, karya-karya yang dipertandingkan telah dinilai oleh barisan juri industri berpengaruh terdiri daripada Datuk Ahmad Izham Omar (Pengasas Komet Productions), Nik Amir Mustapha (Pengarah dan Penerbit Lumatic Films), Hj Md Fadzil Teh (Penerbit Zeel Productions), Adly Shairy Ramly (Ketua Thinker Studios) serta Nazihah Dalhar (Ketua Astro Gempak).