Sekilas
- Cik B, bintang Talk To My Manager Musim Kedua, menegaskan ibunya, Datuk Seri Vida, bebas memilih penampilan sendiri tanpa pengaruh sesiapa.
- Cik B meluahkan rasa geram terhadap ciapan Iqbal Zulkefli yang mahu ubah gaya ibunya jika hubungan mereka kembali baik.
- Dia juga menolak sebarang kemungkinan untuk ibunya berbaik semula dengan Iqbal dan menegaskan Iqbal hanya mahu perhatian warganet.
Bintang Talk To My Manager Musim Kedua (TTMM2) iaitu Cik B tampil memberikan komen balas berhubung ciapan dibuat usahawan, Iqbal Zulkefli yang berniat mahu mengubah penampilan ibunya, Datuk Seri Vida sekiranya hubungan mereka kembali jernih.
Menurut Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, penampilan diri merupakan pilihan individu dan ibunya bebas untuk bergaya mengikut cita rasa sendiri tanpa perlu dipengaruhi mana-mana pihak.
“Mengenai posting Iqbal tentang bulu mata ibu saya itu? Apa yang boleh saya katakan ialah saya sangat geram.
“Suka hati mama saya kalau nak pakai bulu mata panjang 10 inci mahupun 100 inci. Apa-apa pun memang geram, dengar nama dia pun dah serabut,” katanya kepada Gempak.
Ditanya adakah dia terbuka sekiranya Iqbal berbaik semula bersama ibunya, Cik B menegaskan bahawa dia sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.
“Saya memang takkan benarkan mama kembali semula kepada Iqbal. Dia seorang yang suka mencari perhatian sebenarnya.
“Bila dia buat ciapan itu sebenarnya dia cuma nak kan ‘validation’ dari warganet, itu saja.
“Kalau betul dia nak berbaik dengan mama saya, kenalah terima seadanya,” katanya lagi.
Terdahulu, Iqbal meluahkan hasrat mahu mengubah penampilan Datuk Seri Vida jika hubungan mereka kembali jernih seperti dulu.
Ujar Iqbal, dia lebih sukakan gaya penampilan Vida yang dahulunya bersifat lebih minimalis jika hendak dibandingkan dengan sekarang.