Pelakon popular Rozita Che Wan atau Che Ta tidak mempunyai halangan jika anak dan menantunya memilih untuk tinggal sekali di rumah agamnya di Kota Damansara.
Jelasnya, dia tidak berat hati untuk menerima Ammar Effendy dan Auni untuk tinggal serumah asalkan mereka selesa.
Advertisement
“Masih terlalu awal untuk cakap hal itu, tapi saya dan suami okey sahaja kalau Ammar dan Auni nak menetap sekali selepas berkahwin. Kalau mereka selesa, saya pun tak keberatan. Bertambah meriahlah rumah nanti," katanya.
Che Ta menambah, dia memahami situasi pasangan muda yang baru memulakan kerjaya, malah terbuka memberi ruang selagi mereka selesa. Namun begitu, dia juga menghormati privasi mereka sekiranya memilih untuk hidup berdikari.
“Saya jujur terbuka hal ini sebab mereka masih di fasa awal pekerjaan. Tapi kalau mereka nak tinggal sendiri pun tak apa. Saya hormati keputusan mereka sebagai suami isteri,” ujarnya.
Dalam pada itu, kakak kepada pelakon Ayu Raudhah itu turut menitipkan pesanan agar Ammar dan tunangnya menjaga hubungan dengan baik sepanjang tempoh pertunangan.
“Fasa bertunang ni orang kata darah manis. Saya harap mereka sama-sama jaga batas, kawal emosi dan ego, serta kekalkan komunikasi terbuka tentang masa depan, kewangan dan matlamat hidup. Itu asas penting sebelum kahwin.
“Kalau boleh biarlah perkahwinan tu sekali seumur hidup. Selebihnya usaha dan tawakal dalam membina hubungan yang mawaddah, sakinah dan rahmah,” katanya.
Untuk rekod, Ammar kini bertugas di sektor perbankan, manakala Auni bekerja dalam bidang pemasaran. Majlis pertunangan itu turut menampilkan Hunny Madu sebagai pengacara majlis, bacaan doa oleh PU Amin dan sentuhan kreatif Man Kajang untuk dekorasi dulang hantaran kedua-dua belah pihak.
 
     

 
                                       
                                       
                                       
                                      