Pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz menegaskan filem bergenre aksi termasuk KL Gangster lakonannya tidak wajar dijadikan punca utama peningkatan kes buli di sekolah.
Menurut Aaron, 49, meskipun filem sebegitu mungkin memberi sedikit pengaruh, terdapat banyak faktor lain yang lebih besar menyumbang kepada gejala berkenaan.
Advertisement
“Saya tidak nafikan filem gangster mungkin antara puncanya. Sewaktu KL Gangster ditayangkan, memang ada ibu bapa hubungi saya minta nasihatkan anak mereka yang terpengaruh dengan babak aksi. Saya nasihat secara baik.
"Tapi bukan filem semata-mata, ada banyak lagi faktor lain termasuk YouTube dan media sosial. Semua bergantung pada cara penonton menilai,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen SocialCeleb di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), baru-baru ini.
Aaron turut berkongsi pengalaman membantu mangsa buli yang mengalami trauma serius, termasuk seorang remaja yang tidur bersama pisau kerana terlalu takut.
Katanya, dia sendiri berjumpa remaja berkenaan, memberi dorongan serta mencadangkan supaya belajar Muay Thai. Hasilnya, remaja itu kembali yakin dan pulih daripada trauma.
“Pernah terserempak dengan bapanya, dia ucap terima kasih kerana berjaya ubah sikap anaknya. Saya tak minta balasan, ini tanggungjawab sosial saya,” ujarnya.
Selain itu, Aaron juga mendedahkan ada ketikanya dia turun ke sekolah mangsa untuk berdepan dengan pihak guru yang dikatakan lambat bertindak.
“Saya kata mangsa itu anak buah saya, barulah sekolah ambil tindakan. Kalau tidak, mereka ambil mudah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aaron bakal tampil sebagai Star Mentor untuk platform pencarian bakat SocialCeleb, yang akan dilancarkan 9 September ini melalui aplikasi Lifetelco.
Platform ini menjadi medium menghubungkan bakat baharu dengan mentor selebriti serta membuka peluang lebih luas untuk menyerlahkan potensi dalam bidang seni.