Sekilas
- Filem animasi FLEAK mengangkat nilai kekeluargaan, kasih sayang, dan pentingnya menghargai hubungan adik-beradik melalui jalan cerita penuh emosi dan pengembaraan.
- Filem ini mendapat sambutan hangat di Malaysia dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Sepanyol, Perancis, Brazil, dan beberapa negara lain.
- Malaysia menjadi antara negara Asia terawal menayangkan FLEAK dalam bahasa Inggeris, menunjukkan karya animasi tempatan semakin mendapat perhatian global.
Filem animasi FLEAK bukan sekadar menawarkan hiburan buat kanak-kanak, malah turut menyelitkan pelbagai pengajaran bermakna yang boleh dijadikan teladan oleh penonton daripada pelbagai peringkat usia.
Menerusi jalan cerita yang penuh emosi dan pengembaraan, filem ini mengangkat nilai kekeluargaan, kasih sayang serta kepentingan menghargai hubungan sesama adik-beradik.
Ramai penonton berpendapat antara mesej yang paling jelas disampaikan ialah sikap ego dan kedegilan yang boleh membawa kepada pelbagai akibat buruk jika tidak dikawal.
“Banyak benda boleh belajar daripada cerita FLEAK ini. Kalau kita ego, boleh jadi macam adik dalam cerita ini. Jadi jangan nakal dengan adik-beradik kita, kelak badan binasa,” kata seorang penonton yang berkongsi pandangannya mengenai filem tersebut.
Malah, ramai ibu bapa turut menyifatkan FLEAK sebagai sebuah karya yang sesuai ditonton bersama anak-anak kerana sarat dengan nilai murni serta pengajaran kehidupan yang disampaikan secara santai dan menghiburkan.
“Anak nak tengok cerita FLEAK ini. Encik suami kena standby ya. Ramai cakap memang best untuk kanak-kanak,” ujar seorang lagi penonton.
Selain mendapat sambutan hangat di Malaysia, FLEAK turut mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya menembusi pelbagai pasaran antarabangsa menerusi beberapa perjanjian pengedaran global.
Antara negara yang bakal menayangkan filem tersebut ialah Sepanyol, Perancis, Brazil, Türkiye, Denmark, Maghribi, Norway, Tunisia, Sweden dan Poland.
Filem ini diterbitkan oleh Anima Vitae Point bersama Anima Vitae, Animoon dan Godo Films.
Dalam masa sama, Astro Shaw turut memainkan peranan sebagai rakan pemasaran dan pengedaran rasmi filem tersebut di Malaysia.
Lebih membanggakan, Malaysia menjadi antara negara Asia terawal menayangkan FLEAK dalam bahasa asalnya iaitu bahasa Inggeris, malah lebih awal berbanding tayangan di Amerika Syarikat dan Kanada.
Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan bahawa karya animasi yang mempunyai penglibatan kreatif tempatan semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa dan berupaya bersaing dengan pelbagai produksi global.
FLEAK mengisahkan perjalanan yang penuh keberanian, kehilangan dan penerimaan diri dalam sebuah dunia yang sarat dengan elemen fantasi dan keajaiban. Namun di sebalik pengembaraan tersebut, cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh setiap watak adalah menerima diri sendiri dan belajar menghargai insan yang berada di sekeliling mereka.
Gabungan jalan cerita yang menyentuh emosi, visual menarik serta mesej yang dekat dengan kehidupan menjadikan FLEAK sebuah animasi yang bukan sahaja menghiburkan, malah meninggalkan kesan mendalam kepada penonton selepas keluar dari pawagam.