Skip to main content

Hiburan

Bukan Jamilah Tapi Pak Su Ammara, Que Haidar Kembali Jadi ‘Lead’ Untuk Drama Bersiri Selepas 16 Tahun

Que Haidar

Sekilas

  • Pelakon Que Haidar kembali berlakon drama bersiri selepas 16 tahun menerusi naskhah terbaru Pak Su Ammara yang akan ditayangkan di Astro Ria mulai 5 Januari 2026.
  • Que mengakui awalnya gugup tetapi teruja dapat bekerja dengan pelakon seperti Ummi Nazeera dan Dian P Ramlee dalam drama 20 episod ini.
  • Pak Su Ammara mengisahkan tentang seorang guru pra sekolah yang meninggalkan perkahwinan toksik dan menjadi ibu tunggal, serta hubungannya dengan Pak Su, bapa saudara pelajarnya.

Sudah lebih sedekad tidak terbabit dengan drama bersiri, pelakon Que Haidar akhirnya kembali memegang watak utama menerusi naskhah terbaharu yang berjudul Pak Su Ammara.

Ujar Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, dia sebelum ini sering menolak tawaran untuk berlakon bagi drama bersiri kerana berasakan sukar untuk menyerap energi bagi watak yang bakal dilakonkan.

Walau bagaimanapun, dia terdetik untuk kembali berlakon dalam drama bersiri selepas dipujuk pihak Astro serta penerbit, Global Station Sdn Bhd.

“Saya sudah 16 tahun tidak mengambil tawaran bermain dalam drama bersiri dan kali ini pihak penerbit serta Astro berjaya memujuk saya untuk kembali bermain dalam karya berepisod.

“Sebenarnya, antara salah satu faktor saya menolak bermain dalam drama siri kerana berasa tidak sempat menyerap energi atau tenaga dalam karakter yang diberi kerana kami menjalani banyak babak dalam sehari.

“Namun untuk Pak Su Ammara, dengan bimbingan daripada pengarah, Azri Izhar dan seluruh tim yang memberi energi positif, saya seronok terlibat dalam naskhah ini,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang kini menginjak usia 46 tahun ini mengakui agak gugup untuknya kembali ke set penggambaran. Walau bagaimanpun, dia harus bersikap profesional dan tidak akan sesekali menarik ‘handbrake’.

“Walaupun saya sangat gugup terutama pada hari pertama, tapi Allah mendengar permintaan saya. Saya berdoa kalau kembali bermain drama berepisod, biarlah saya dikelilingi orang-orang baik dengan tenaga yang positif.

“Dan saya telah mendapatkannya dalam produksi ini. Jadi oleh kerana sudah setuju, saya tidak boleh tarik handbreak. Saya akan lakukan yang terbaik untuk Pak Su Ammara,” katanya lagi.

Memegang watak sebagai Pak Su, Que turut meluahkan rasa teruja kerana dapat peluang untuk bergandingan dengan pelakon serba boleh, Ummi Nazeera.

“Saya ambil tawaran ini sebab mahu bekerja dengan Ummi Nazeera. Saya mahu bekerja dengan beliau. Ummi banyak membantu saya.

“Selain Ummi, saya juga dibantu oleh pelaku seni handalan, Dian P Ramlee dan pembawa watak Ammara juga bermain dengan baik,” kongsinya.

Sekadar info, drama Pak Su Ammara mengangkat kisah tentang seorang guru pra sekolah bernama Hamiza dalam sebuah perkahwinan toksik. Hamiza meninggalkan perkahwinan toksiknya dalam keadaan diri sedang hamil.

Di sepanjang perjalanan menjadi ibu tunggal, Hamiza berkenalan dengan bapa saudara salah seorang pelajarnya, Ammara Rose iaitu Firdaus atau Pak Su.

Drama 20 episod yang ditayangkan di saluran Astro Ria ini dan akan mula ditayangkan pada 5 Januari 2026 turut dibintangi pelakon hebat seperti Syazwan Zulkifly dan Dian P Ramlee.

Must-Watch Video

Advertisement