Ustaz Azhar Idrus menegur kenyataan seorang artis wanita yang mendakwa dirinya lebih dekat dengan Allah selepas membuka tudung.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di YouTube pada Rabu, pendakwah terkenal itu menyifatkan kenyataan tersebut lahir daripada kejahilan kerana jalan sebenar untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah melalui ketaatan.
Advertisement
“Kita dekat dengan Allah kerana taat kepada perintah-Nya.
Kita jauh daripada Allah kerana tidak taat kepada perintah-Nya,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, jika seseorang benar-benar dekat dengan Allah, maka Allah akan menjadikan dirinya taat kepada perintah-Nya.
“Orang yang derhaka tidak boleh dianggap dekat dengan Allah. Apa perintah Allah berkaitan pemakaian tudung?” soalnya.
Beliau turut membacakan firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 59:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu serta wanita-wanita yang beriman supaya melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuh. Cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal sebagai wanita baik-baik, agar mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Jelasnya lagi, berdasarkan ayat tersebut, wanita Muslim diperintahkan untuk memakai jilbab atau tudung sebagai tanda ketaatan.
“Kalau seseorang membuka tudung lalu mendakwa dirinya lebih dekat dengan Allah, itu jelas salah. Orang yang menutup aurat lebih dekat dengan Allah, manakala orang yang membuka tudung lebih jauh daripada Allah,” tegasnya.
Tambah beliau, memakai tudung adalah perintah Allah, manakala mendedahkan aurat pula merupakan tanda kedurhakaan yang menunjukkan seseorang tidak lagi takut akan azab neraka pada hari akhirat.