Bagi peminat XPDC, wajah setiap anggotanya (sama ada yang pernah bersama atau sudah keluar band) sangat dikenali.
Mael, Ali, Izo, Eddie dan Lola sudah sangat akrab di bibir peminat sebelum XPDC disertai anggota baharu seperti Amy, Zuar, Jeff, Ary dan Mamu.
Advertisement
Namun ada seorang anggota baharu yang bermain di posisi pemain gitar yang menyertai XPDC kini menerima banyak tumpuan. Dia adalah Nik Muhamad Arif atau dikenali sebagai Arif.
Baru berusia 28 tahun, tarikan Arif bukan hanya berbakat tetapi memiliki personaliti menarik dan berwajah tampan.
Menjadikan penampilannya lebih menarik dalam XPDC adalah fakta bahawa Arif merupakan anak kepada pemain gitar kugiran tersebut, Izo, 61, yang masih aktif sepentas.
Mengulas tentang kehadirannya dalam XPDC dan dibandingkan dengan bapanya, Izo, Arif mengaku sudah terbiasa dibandingkan namun melihat ia daripada sudut positif.
Apa yang penting kata Arif dirinya sentiasa menghormati peminat setia pemilik rangkaian lagu hit seperti Semangat Yang Hilang dan Titian Perjalanan itu.
“Ya, selalu dibandingkan dengan ayah (Izo). Tapi saya percaya dalam bidang apapun termasuk muzik, walaupun kita anak dan ayah, saya tak pernah akan ada ‘touch’ yang sama.
“Dan saya terima itu. Apa yang penting saya bersama XPDC tanpa paksaan ayah dan selalu menghormati peminat,” katanya Arif yang ditemui selepas sidang media Konsert Fenomena Samurai di Top G Coffee & Cafe.
Saat ditanya tentang ‘menjual’ ketampanan berbanding bakat, Izo lebih memilih dirinya memiliki kedua-dua kualiti tersebut ; tampan dan berbakat.
Malah hal yang lebih membanggakan Arif adalah kehadirannya berjaya menarik perhatian generasi baharu mengenali muzik XPDC.
“Alhamdulillah saya rasa bagus kerana kehadiran saya membuat generasi muda mula mengenali dan mendengar muzik XPDC,” katanya.
“Dapat DM nakal kerana tampan?”soal media dan dijawab Arif: “Selalu. Banyak. Sampai saya takut nak buka dan baca.
“Kalau nampak macam ‘mengarut’ saya tak buka (DM). Takut.”
Terkini, Arif bersama XPDC akan terlibat dengan dua konsert mega yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Konsert XPDC METALKESTRA dijadual akan menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 8 November ini sementara Konsert Fenomena Samurai yang mengabungkan XPDC bersama Search buat pertama kali dalam sejarah di Borneo akan berlangsung di Stadium Kuching, Sarawak pada 13 Disember 2025.