Sekilas
- Filem aksi Black Ops merupakan kolaborasi pertama antara produksi Malaysia dan Hong Kong, dijangka tayang pada akhir 2026.
- Filem ini diarahkan oleh Syafiq Yusof dan Chui Tze Yui, serta menampilkan barisan pelakon hebat dari kedua-dua negara.
- Black Ops mengisahkan perjuangan seorang anggota pasukan khas membersihkan nama dan membongkar konspirasi, dengan babak aksi intensif dikendalikan oleh pengarah lagak ngeri bertaraf antarabangsa.
Industri perfileman tempatan melakar sejarah baharu apabila produksi Malaysia berganding bahu dengan syarikat penerbitan tersohor Hong Kong menerusi filem aksi berskala besar berjudul Black Ops, yang dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun 2026.
Filem terbitan bersama Skop Productions, Enotech, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, Astro Shaw dan GSC itu turut melibatkan kerjasama One Cool Films milik bintang terkenal Hong Kong, Louis Koo, sekali gus menandakan kolaborasi pertama antara syarikat produksi Malaysia dan Hong Kong berkenaan.
Lebih mengujakan, Black Ops diarahkan oleh dua pengarah berkaliber tinggi iaitu Syafiq Yusof dari Malaysia dan Chui Tze Yui dari Hong Kong, menjadikan filem ini simbol hubungan kreatif sinema dua negara.
Pengerusi Skop Productions merangkap penerbit eksekutif Black Ops, Datuk Yusof Haslam berkata, filem ini diharap dapat diterima baik oleh penonton tempatan selain membuka ruang lebih luas buat industri perfileman Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Sebagai pembikin filem, saya berharap Black Ops bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi cerminan masyarakat dan satu pengalaman yang kekal di hati penonton. Kejayaan filem bergantung kepada kekuatan cerita, lakonan jujur, promosi berkesan dan sokongan rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pengarah One Cool Films merangkap penerbit bersama Black Ops, Tang Wai But berkata, kerjasama ini merupakan langkah awal ke arah hubungan jangka panjang antara industri perfileman Hong Kong dan Malaysia.
“Kolaborasi ini bukan sekadar menghasilkan sebuah filem, tetapi membuka peluang penembusan filem Malaysia ke pasaran serantau dan antarabangsa. Kami komited memastikan Black Ops dihasilkan pada tahap terbaik,” ujarnya.
Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif bersama, Raja Jastina Raja Arshad pula menyifatkan projek tersebut sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik industri perfileman tempatan dengan pemain antarabangsa.
“Dengan pengalaman dan keupayaan platform kami, Astro Shaw bersedia memastikan projek ini mencapai potensi maksimum serta menetapkan standard baharu industri perfileman tempatan,” katanya.
Sebagai projek bertaraf antarabangsa, Black Ops menghimpunkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Hong Kong antaranya Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Datuk Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq, Benjamin Tan, Ken Law (Super Ken), Sean Lin, Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan serta pelakon kanak-kanak, Rania Amanda.
Babak aksi intensif filem ini diterajui oleh dua pengarah lagak ngeri bertaraf antarabangsa iaitu Ken Law (Super Ken) dan Sean Lin (Lin Li-Yang). Ken Law yang juga calon Anugerah Golden Horse 2025 terkenal dengan koreografi aksi realistik berskala besar, manakala Sean Lin merupakan anggota pasukan legenda Hung Ga Ban yang diasaskan oleh Sammo Hung.
Black Ops mengisahkan tentang Johan, seorang anggota pasukan khas yang didakwa terlibat dalam pembunuhan isterinya serta kehilangan anak perempuan. Demi membersihkan nama dan membongkar konspirasi berkuasa, Johan terpaksa berpaling menentang pasukannya sendiri.
Dengan skala produksi besar, barisan kreatif antarabangsa serta jalan cerita penuh aksi dan emosi, Black Ops dijangka menjadi antara filem tempatan paling dinantikan pada tahun 2026.
Ikuti info-info menarik tentang Black Ops di kesemua platform media sosial Skop Productions, One Cool Studios, Astro Shaw.