Sekilas
- Amira Othman melihat khabar angin mengenai kehamilannya sebagai doa baik dan menganggap soalan tentang zuriat selepas berkahwin adalah perkara biasa.
- Amira dan suaminya, pelakon Fattah, tidak menolak rezeki dan akan berkongsi berita gembira apabila tiba masa yang sesuai.
- Mereka menghargai setiap doa dan harapan peminat tanpa berkecil hati, serta faham topik kehamilan sensitif bagi pasangan baru berkahwin.
Penyanyi Amira Othman memilih untuk melihat setiap khabar angin mengenai dirinya berbadan dua sebagai doa yang baik, meskipun soalan berkaitan kehamilan semakin kerap diajukan sejak dia mendirikan rumah tangga.
Tidak terkejut apabila pertanyaan itu menjadi topik utama setiap kali muncul di khalayak, Amira, 30, berkata ia adalah lumrah dalam kehidupan seseorang selepas berkahwin.
“Bila sudah berkahwin, soalan seterusnya mestilah tentang anak. Sebelum kahwin orang tanya pasal jodoh, lepas kahwin orang tanya pula tentang zuriat. Itu perkara biasa.
“Sama ada mahu menafikan atau mengiyakan, kami akan kongsi perkara yang baik bila tiba masa yang sesuai. Apa saja dakwaan atau pertanyaan tu saya anggap sebagai doa. Mestilah kami aminkan. Siapa yang tak mahu zuriat? Semua ada waktu yang ditentukan,” katanya kepada Gempak.
Amira ditemui pada program Amber Allstar Picklebash di Kings Court@TTDI baru-baru ini.
Amira turut menegaskan bahawa dia dan suaminya, pelakon Fattah, 35, tidak pernah menolak rezeki sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.
“Kami tak menolak rezeki. Kalau Allah dah tetapkan waktu dan bilangannya, itulah yang terbaik. Kami terima dengan syukur,” ujarnya.
Pada masa sama, Amira mengakui topik kehamilan sebenarnya sensitif buat sebahagian pasangan, lebih-lebih lagi yang baru mendirikan rumah tangga.
“Kami pun baru berkahwin dan saya faham kenapa soalan ini dianggap sensitif. Jujurnya saya sendiri pun takut nak tanya orang lain bab kehamilan, bimbang tersalah langkah,” katanya.
Fattah pula menjelaskan mereka tidak pernah berkecil hati, sebaliknya menghargai setiap doa serta harapan baik yang disampaikan peminat.
“Dalam mana-mana perkahwinan pun, semua orang mahukan zuriat. Cepat atau lambat, itu rezeki. Kalau tiba waktunya, sudah tentu kami akan kongsi.
“Kami tak terasa pun bila ditanya. Kami anggap semua kata-kata itu doa. Bila tiba masa yang sesuai, kami akan maklumkan,” katanya.
Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, menamatkan zaman dudanya bersama Amira pada 14 September lalu dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Sepang.