Skip to main content

Filem

"Bila Balik Rumah, Rasa Macam 'Maria Hadi' Masih Ikut Sekali..." - June Lojong

june_polong

Ringkasan AI

  • June Lojong menganggap watak Maria Hadi dalam filem Polong sebagai antara yang paling berat pernah dibawanya.
  • Watak Maria diinspirasikan daripada kisah benar, tetapi June tidak meniru mana-mana individu secara langsung.
  • Filem Polong mengangkat kisah jiwa manusia yang tersilap langkah dan dijangka tayang pada 2026 dengan barisan pelakon seperti Mimi Lana dan Nam Ron.

Setiap pelakon ada watak yang meninggalkan kesan mendalam, bagi June Lojong, watak Maria Hadi dalam filem Polong adalah antara yang paling berat pernah dibawanya.

Jelas June, watak Maria Hadi diinspirasikan daripada kisah benar dan karakternya dibentuk tanpa meniru mana-mana individu.

“Inspirasi watak ni datang daripada kisah benar, tapi saya tak meniru sesiapa. Maria Hadi bukan Mona Fandey, tapi seorang wanita yang terdesak dan terhimpit oleh keadaan.

"Bagi mempersiapkan diri, saya tengok footage lama, baca kes-kes lama, tapi saya tak mahu tiru gaya atau rupa. Saya cuma nak faham emosi yang dialami wanita itu.

"Cabaran dia besar sebab saya kena rasa, bukan sekadar lakon,” katanya kepada Gempak.

June menjelaskan, pengarah Polong, Zulkarnain Azhar mahu watak itu dibentuk sebagai cerminan manusia yang berada di hujung tekanan, bukan sekadar antagonis biasa.

“Zul selalu ingatkan saya, Maria bukan jahat. Dia cuma manusia yang tersesat dalam dunia ciptaannya sendiri.

“Kadang-kadang bila balik rumah, rasa macam Maria masih ikut balik. Jiwa dia berat. Saya kena tahu bila masa untuk berhenti supaya tak terbawa-bawa.

"Antara babak yang paling meninggalkan kesan ialah adegan pertemuan terakhir Maria bersama anaknya.

"Babak tu betul-betul menekan emosi. Saya tak boleh pura-pura menangis sebab air mata tu datang sendiri. Dia tahu itu kali terakhir dia jumpa anaknya," ceritanya.

Bagi June, Polong bukan sekadar filem seram, tetapi kisah jiwa manusia yang tersilap langkah.

"Saya tak nak orang tengok filem ni semata-mata untuk takut. Saya nak penonton faham sisi manusia yang hilang arah kerana obsesi dan cinta.

"Kadang-kadang yang paling menakutkan bukan hantu, tapi diri sendiri," tambahnya.

Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam dan dosa lampaunya, namun cuba mencari keampunan ketika akhir hayatnya.

Sehinggakan dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi polong berkenaan ingin membalas dendam selepas kematian Maria dan sumpah laknatnya perlu dihadapi oleh pewaris Maria.

Filem Polong turut dilakonkan oleh Mimi Lana, Fad Anuar, Nam Ron, Nadiya Nisaa dan ramai lagi. Polong dijangka tayang pada 2026.

Must-Watch Video

Advertisement