Skip to main content

Hiburan

Berjaya Jual 23,674 Hidangan Dalam Masa Sehari, Restoran Bumbu Babah Milik Ajak Shiro Terima Sijil Malaysia Book Of Records

Ajak Shiro

Sekilas

  • Restoran masakan Padang milik pelawak Ajak Shiro, Bumbu Babah, berjaya menjual 23,674 hidangan nasi padang dalam satu hari pada 1 Januari 2026.
  • Kejayaan ini membawa kepada penerimaan sijil Malaysia Book of Records (MBR) bagi restoran yang mempunyai 40 cawangan tersebut.
  • Ajak Shiro mengakui tidak menyangka sambutan luar biasa dan berterima kasih atas sokongan pelanggan yang menjadikan Bumbu Babah popular dalam masa singkat.

Restoran masakan Padang milik pelawak, Ajak Shiro, Bumbu Babah mencipta sejarah apabila berjaya menjual 23,674 hidangan nasi padang dalam masa satu hari pada 1 Januari 2026 lalu.

Kejayaan itu sekaligus membuatkan restoran yang diusahakan Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak ini menerima sijil Malaysia Book of Records (MBR).

Ujar Ajak, dia juga tidak pernah terfikir akan medapat pengiktirafan itu serta tidak menjangka akan mendapat sambutan sehangat dari 40 cawangan yang diusahakannya.

“Sejujurnya, saya dengan rendah hati mengakui bahawa saya tidak pernah terfikir Bumbu Babah ini akan sampai ke tahap seperti hari ini.

“Justeru, saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada para pelanggan yang sentiasa setia bersama kami,” katanya kepada Gempak.

Bercerita lanjut, juara program Raja Lawak musim keenam (RL6) ini memaklumkan pada awalnya dia sedikit ragu-ragu dengan menu yang akan dijual namun bersyukur kerana setiap menu yang dijual kena dengan tekak rakyat Malaysia.

“Pada peringkat awal, apabila saya sekadar mahu melayan kehendak anak saya untuk mencuba perniagaan ini, timbul juga persoalan dalam diri, adakah menu seperti nasi Padang ini sesuai untuk dijual?

“Ini kerana ia bukanlah makanan yang biasa kita jadikan sebagai hidangan harian, walaupun sering didengar namanya.

“Namun, apabila kami mula melangkah, saya benar-benar tidak menyangka bahawa dalam tempoh satu tahun satu bulan sahaja, kami berjaya mencatat rekod sebanyak 23,674 hidangan dalam satu hari,” katanya.

Menerusi sesi yang diadakan pada Jumaat, sijil dari MBR diserahkan sendiri oleh wakil MBR bertempat di Bumbu Babah cawangan MyTown Shopping Center, Kuala Lumpur.

Must-Watch Video

Advertisement