Sekilas
- Nabil Mahir dan Ayda Jebat tidak mengetahui jantina bayi ketiga mereka sehingga majlis pendedahan jantina berlangsung semalam.
- Majlis bertemakan The Ultimate Triple Drop turut meraikan hari jadi anak kedua mereka, Aali Mateen, dan pelancaran muzik video lagu terbaru Ayda, Kentoot.
- Ayda mengakui kehamilan kali ini lebih mencabar dan membuatkan dia cepat penat berbanding sebelum ini.
Pengacara dan pelakon Nabil Mahir mendedahkan dia dan isterinya, penyanyi serta pelakon Ayda Jebat langsung tidak mengetahui jantina cahaya mata ketiga mereka sehinggalah selesai majlis pendedahan jantina yang berlangsung semalam.
Menurut Nabil, keputusan itu dibuat lebih awal apabila mereka memaklumkan kepada doktor supaya tidak mendedahkan jantina bayi sepanjang tempoh kehamilan.
“Kami berdua memang tak tahu. Dari awal kami dah beritahu doktor tak mahu tahu jantina. Bila surat keputusan dah dapat, jururawat sahaja yang tahu jantina bayi.
“Alhamdulillah saya sangat gembira. Minta doa yang baik-baik. Nayla memang mahukan baby girl, saya rasa salah satu impian Nayla tercapai,” ujarnya.
Perkara tersebut diumumkan menerusi majlis istimewa bertemakan The Ultimate Triple Drop yang berlangsung di The Journal Hotel, Kuala Lumpur, semalam.
Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi platform pendedahan jantina bayi, malah turut meraikan sambutan hari kelahiran anak kedua pasangan itu, Aali Mateen, selain pelancaran muzik video lagu terbaharu Ayda berjudul Kentoot.
Ayda pula berkata, jantina bayi itu hanya diketahui selepas majlis berkenaan.
“Jururawat ada seal dalam surat envelope, pagi tadi, baru kawan kami tahu. Tadi baru kami tahu,” katanya.
Menurut Ayda, sebelum ini mereka menyangka bayi dalam kandungannya adalah lelaki berdasarkan bentuk perut dan pengalaman mengidam.
“Kami ingat lelaki berdasarkan bentuk perut dan mengidam. Sebab Nayla kata dia dah ada adik lelaki, jadi dia cakap nak little sister. Nayla siap bagi nama, dia nak panggil baby itu Mimi,” katanya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, Ayda turut mengakui kehamilan kali ini lebih mencabar berbanding sebelum ini sehingga membuatkan dirinya cepat keletihan.
“Sebenarnya penat sangat. Kalau boleh muzik video ini saya tak mahu sangat, kalau boleh artis lain yang banyak, saya keluar sikit je.
“Kehamilan ini berbeza dengan terdahulu. Saya tak pasti faktor umur ke, sebab saya makin penat. Kalau nak bercakap pun tercungap,” jelasnya.
Terdahulu, Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil Mahir pada 1 Januari 2021. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ana Nayla dan Aali Mateen.
Dalam perkembangan lain, Ayda Jebat tampil dengan single terbaharu berjudul Kentoot yang turut dilancarkan menerusi majlis berkenaan.