Suami kepada pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, iaitu Nadzmi Adhwa menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan keadaan isterinya yang kini menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads, pelakon berusia 33 tahun itu memohon masyarakat untuk bertenang dan tidak menimbulkan kekeliruan dengan maklumat yang belum disahkan.
Advertisement
“Tolong jangan sebarkan info yang salah dan tidak sahih.
“Saya menerima khabar bahawa tiada apa-apa penyiksaan atau sebarang tembakan yang berlaku.
“Bawa bertenang dan jom kita teruskan berdoa untuk mereka semua. Allah ada. Serah pada Allah. Hasbunallah wanikmal wakil,” tulisnya.

Menurut Nadzmi, setakat ini dia belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai keadaan isterinya dan hanya mengetahui perkembangan terkini melalui sesi siaran langsung yang dibuat Ardell pada awal pagi Rabu.
Terdahulu, media melaporkan bahawa empat lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF telah dipintas oleh tentera Zionis ketika berada di perairan Gaza pada awal pagi tadi.
Mereka ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio, selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu.
Menurut Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), kapal Grande Blu telah dipintas pada jam 12.58 tengah malam waktu Gaza, manakala kapal Hio pula pada jam 2.34 pagi, pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.
Setakat jam 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC selepas kapal mereka dipintas.
Antara mereka ialah penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma; serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.
SNCC memaklumkan bahawa setakat ini, 10 kapal berada pada status “diserang” manakala 13 kapal lain telah menghantar isyarat “kecemasan”.
Sumber: Threads