Sekilas
- Bapa Uqasha Senrose, Nik Sen Mat Rifin, menggesa Kamal Adli melepaskan anaknya dan mempercepatkan proses perceraian.
- Nik Sen menuduh Kamal sebagai lelaki dayus yang menyiksa mental dan fizikal Uqasha serta tidak mahu mereka berbaik semula kerana bimbang penderaan berulang.
- Uqasha mendakwa Kamal melakukan keganasan terhadapnya, manakala Kamal menafikan dakwaan tersebut
Bapa kepada pelakon Uqasha Senrose, iaitu Nik Sen Mat Rifin menggesa agar menantunya, Kamal Adli melepaskan anaknya selain mempercepatkan proses perceraian.
Nik Sen juga melabelkan Kamal sebagai lelaki dayus kerana menyiksa mental dan fizikal anak perempuannya.
“Kamal kalau kau ni jantan, kau lepaskanlah dah orang tak nak kat kau. Kau nak buat apa lagi.
“Kau ni dayus, kau lepaskan orang tak nak dekat kau. Senang cerita,” katanya dalam temu bual bersama Melodi.
Tambah Nik Sen lagi, dia juga tidak mahu Uqasha berbaik semula dan khuatir sekiranya perkara sama akan berulang lagi selain tidak sanggup melihat anaknya terus menjadi mangsa penderaan rumah tangga.
“Nak kehulu kehilir, banyak cerita pasal apa, kalau kata balik (bersama) pun, akan benda sama berlaku dan saya tak rela anak saya dipukul hari-hari,” ujarnya.
Terdahulu, Uqasha mendakwa suaminya, aktor Kamal Adli telah melakukan keganasan terhadap dirinya selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Kamal ketika ditemui media bagaimanapun menafikan perkara itu dan berani bersumpah untuk menjunjung Al-Quran terhadap dakwaan mendera dan memukul sepanjang perkahwinan mereka.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.