Sekilas
- Trisha Ooi akan menyertai perlawanan tinju profesional pertamanya di All Star Championship Dubai Edition pada 3 Mei ini.
- Pelakon aksi ini mahu menunjukkan kebolehannya bertarung secara profesional selain di depan kamera, walaupun ada rasa risau cedera.
- Trisha sanggup berkorban termasuk tidak makan juadah raya demi menjaga berat badan sebelum bertarung menentang pempengaruh Indonesia, Dinda Anwar.
Satu sejarah baharu bakal tercipta buat pelakon, Trisha Ooi apabila dijadualkan bakal menyertai perlawanan tinju profesional pertamanya, All Star Championshion Dubai Edition bertempat di Dubai pada penghujung 3 Mei ini.
Menurut pemilik nama Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi itu, tujuan utama dia bersetuju untuk menyertai pertandingan itulah kerana mahu menonjolkan semula kelebihannya sebagai seorang pelakon aksi.
"Ramai yang tahu saya bermula sebagai pelakon lagak ngeri selama enam hingga tujuh tahun sebelum bergelar pelakon. Tahun ini, sasaran saya adalah untuk mengukuhkan nama sebagai pelakon aksi dengan lebih kuat lagi kerana itulah akar saya dalam industri ini.
"Saya benar-benar ingin menunjukkan kemampuan saya bertarung, bukan sahaja di depan kamera tetapi juga di atas gelanggang secara profesional," katanya kepada Gempak.
Trisha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bertempat di Studio 38, Kota Damansara pada Sabtu.
Ditanya mengenai kebarangkalian untuk cedera ketika perlawanan, pelakon drama One Cent Thief 2 ini mengakui timbul sedikit kegusaran dalam diri namun tetap bersemangat dan berasa teruja.
"Risau itu memang ada, sampaikan saya terfikir sendiri 'bolehkah aku buat?'. Namun, menang atau kalah itu nombor dua, apa yang penting saya dapat merasai pengalaman sekali seumur hidup dan memenuhi minat saya dalam bidang ini.
"Kami tetap akan bertarung secara selamat dengan memakai pelindung kepala dan sarung tangan," katanya lagi.
Berkongsi mengenai pengorbanan, pelakon berusia 27 tahun ini memaklumkan dia terpaksa mengorbankan nafsu makan terutama sekali sewaktu perayaan Aidilfitri beberapa minggu lalu.
"Raya kali ini memang saya tidak makan lemang, rendang atau ketupat demi menjaga berat badan. Saya anggap ini azam tahun baharu saya. Balik dari Dubai nanti baru saya akan sambut raya sepuasnya," katanya.
Sekadar info, Trisha dijadualkan berlepas ke Dubai pada 30 April ini dan akan berada di sana sehingga 5 Mei depan.
Bagi perlawan tersebut, Trisha bakal bertarung menentang lawan dari Indonesia yang juga pempengaruhDinda Anwar.