Sekilas
- Pelakon Pablo Amirul dan isteri, Dr Hana Rose, mengalami kebakaran kecil di bahagian pelamin semasa majlis pernikahan mereka berlangsung di The Dove Hall, Jalan Tun Razak.
- Pablo kekal tenang dan situasi berjaya dikawal dengan pantas walaupun berlaku kebakaran ketika sesi fotografi menggunakan gimik letupan belon.
- Majlis pernikahan dihadiri keluarga, rakan artis seperti Rozita Che Wan dan Zain Saidin, serta media, dengan Pablo menyerahkan mas kahwin RM800 dan cincin berlian.
Pelakon, Pablo Amirul dan isteri, Dr Hana Rose berdepan detik cemas apabila berlaku kebakaran kecil di bahagian kanan pelamin pernikahannya ketika majlis berlangsung pada Isnin.
Tidak cepat panik, Pablo atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd. Sakri, 42, bagaimanapun dilihat kekal tenang malah sempat ketawa apabila situasi tersebut berjaya dikawal dengan pantas.
“Saya ini pelakon aksi, jadi memang biasa berdepan situasi mencabar. Saya tengok keadaan masih terkawal dan tidak berbahaya.
“Kalau meletup, lain ceritalah. Ketika itu, sudah tentu keutamaan saya adalah menyelamatkan isteri. Tapi kejadian itu jadi antara momen paling menarik,” ujarnya.
Pablo berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis yang berlangsung di The Dove Hall, Jalan Tun Razak.
Insiden tersebut difahamkan berlaku semasa pasangan pengantin sedang menjalani sesi fotografi dengan menggunakan gimik letupan belon.
Tiba-tiba berlaku kebakaran kecil di bunga hiasan bahagian kanan pelamin, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan tetamu.
Terdahulu, Pablo Amirul sah bergelar suami kepada Dr. Hana Rose dengan sekali lafaz kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Pablo menyerahkan wang tunai sebanyak RM800, seperangkap alat solat dan sebentuk cincin berlian sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Majlis turut disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan rakan media yang membuat liputan pernikahan pasangan berkenaan.
Antara rakan artis yang hadir termasuk Rozita Che Wan, Zain Saidin, Ellie Suriaty dan Chacha Maembong.
Sebelum ini, Pablo memberitahu keputusan untuk bernikah dibuat secara singkat kerana enggan menangguhkan perkara baik.
Pada April tahun lalu, Pablo memaklumkan dia kini sedang hangat bercinta dengan pakar estetik dikenali sebagai Dr Hana Rose.
Menurut aktor berkenaan, hubungan mereka sudah mendapat restu keluarga dan enggan menunggu masa terlalu lama bercinta.