Penyanyi dan usahawan Azza Elite, mengimbau kisah menyentuh hati tentang pengalaman hidupnya selepas melalui episod penceraian.
Menerusi satu hantaran di Threads, Azza mengakui berasa sedih dan sebak membaca kisah penceraian rakan-rakan artis yang sedang diuji ketika ini kerana ia mengingatkannya kepada pengalaman peribadi yang pernah dilalui.
Advertisement
“Sedih dan sebak membaca penceraian sahabat-sahabat yang diuji. Saya pernah melaluinya,” tulisnya.
Menurut Azza, selepas sehari bercerai, dia masih belum mampu menerima kenyataan sepenuhnya.
Dalam keadaan separuh sedar, dia masih melakukan rutin seperti biasa termasuk menyediakan kopi untuk suaminya walaupun pada ketika itu hubungan mereka sudah berakhir.
“Korang tahu tak, ada satu hari selepas penceraian saya membuat kopi... tapi saya tak minum kopi. Bila ditanya untuk siapa, saya cakap untuk suami saya. Padahal masa tu saya dah cerai. Weiii... naik atas melalak macam nak rak. Sesal," tulisnya lagi.

Azza mengakui, detik itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidupnya dan menjadi titik refleksi terhadap makna sebenar kehilangan dan penyesalan.
“Itu kisah cerai saya. Tak ada manusia pun nak berkahwin dan melalui penceraian,” ujarnya jujur.
Tambahnya lagi, selepas enam tahun hidup solo, Azza akhirnya kembali berkahwin dan berazam untuk menjadi isteri yang lebih baik dalam perkahwinan keduanya.
“Bila berkahwin kali kedua selepas enam tahun solo, saya berazam menjadi isteri yang baik," kata Azza.
Perkongsian ikhlas itu menerima reaksi positif daripada para pengikutnya yang memuji ketabahan dan kejujuran Azza dalam berkongsi kisah peribadi.
Ramai juga yang menitipkan doa agar rumah tangganya kini kekal bahagia dan diberkati.