Skip to main content

Hiburan

Azira Shafinaz Damba Watak Wanita Lasak, Sedia Galas Babak Pertarungan Dalam Filem

Astro Gempak 292

Sekilas

  • Azira Shafinaz bercita-cita untuk membawa watak wanita lasak yang melakukan adegan pertarungan dalam karya lakonan akan datang.
  • Dalam filem TARUNG: Unforgiven, Azira memegang watak Dahlia yang penting dalam perkembangan jalan cerita sebagai adik kepada watak utama Badrul.
  • Azira juga berharap dapat membintangi filem thriller psikologi pada masa hadapan walaupun peluang itu belum datang lagi.

Pelakon dan penyanyi Azira Shafinaz menyimpan hasrat untuk mencabar diri membawakan watak wanita lasak yang mampu melakukan adegan pertarungan dalam karya lakonan akan datang.

Menurut Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 34, walaupun sudah membintangi beberapa naskhah aksi sebelum ini, dia masih belum berpeluang menunjukkan sepenuhnya kemampuan melakukan babak pertarungan dan aksi berbahaya.

“Kalau ikutkan saya memang nak watak lasak yang boleh bertarung atau tunjukkan kemampuan skil berlawan. Mungkin suatu hari nanti hajat itu akan tercapai.

“Setakat ini saya sudah membintangi tiga filem aksi termasuk yang terbaharu, TARUNG: Unforgiven. Cuma dalam naskhah ini saya bawakan karakter wanita yang kuat dari segi mental dan bijak mengatur strategi,” katanya.

Azira berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon utama filem TARUNG: Unforgiven yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada Sabtu.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Dahlia dalam filem tersebut, Azira menyifatkan karakter berkenaan cukup istimewa kerana memainkan peranan penting dalam perkembangan jalan cerita.

“Dahlia adalah otak di sebalik Badrul dan saya perlu memastikan karakter ini penting dalam kalangan semua watak lelaki.

“Ini cabaran sebenar bagi saya kerana saya tidak mahu Dahlia dilihat tidak penting dalam TARUNG: Unforgiven,” ujarnya.

Dalam filem itu, Dahlia merupakan adik kepada Badrul yang dilakonkan oleh Zul Ariffin dan hubungan mereka digambarkan sebagai ikatan adik-beradik yang sangat kuat.

Menurut Azira, bekerjasama dengan Zul juga tidak sukar memandangkan mereka pernah terlibat dalam beberapa projek sebelum ini.

Selain itu, Azira turut menyatakan impiannya untuk membintangi filem thriller psikologi pada masa hadapan walaupun peluang tersebut masih belum hadir.

Selain Azira, filem arahan Razaisyam Rashid itu turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Aedy Ashraf, Bront Palarae, Zul Ariffin, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.

TARUNG: Unforgiven mengisahkan seorang bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas satu tragedi sehingga terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya tanpa menyedari lawan yang menanti merupakan orang terdekatnya suatu ketika dahulu.

 

Anda mungkin berminat dengan

SHEGLAM Camera On Smooth Blur Primer Smooth Poreless Moisturizing Face Base

SHEGLAM Camera On Smooth Blur Primer Smooth Poreless Moisturizing Face Base

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

SHEGLAM Enigma Sparkly Glitter Eyeshadow Palette

SHEGLAM Enigma Sparkly Glitter Eyeshadow Palette

SHEGLAM For The Flush Lip & Cheek Lip Tints

SHEGLAM For The Flush Lip & Cheek Lip Tints

TIMAGE 3-Color Blush Palette

TIMAGE 3-Color Blush Palette

Must-Watch Video

Advertisement