Menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Makkah adalah impian setiap umat Islam. Namun, tidak semua berpeluang menunaikan ibadah umrah apabila belum sampai seru, termasuk faktor kewangan yang sering menjadi kekangan utama.
Atas sebab itu, penyanyi dan usahawan Ayu Damit memilih untuk menunaikan umrah secara Do It Yourself (DIY) bersama sahabatnya, Datin Aisyah Ghazali, seorang usahawan pelancongan yang juga Pengurus Perhubungan Awam di Izz Ikhwan Travel Empire.
Advertisement
Bagi yang belum mengetahui, umrah DIY bermaksud jemaah menguruskan sendiri segala urusan perjalanan termasuk tempahan tiket penerbangan, penginapan, visa dan pengangkutan di Arab Saudi tanpa melalui agensi pelancongan.
Kali pertama Ayu dan Aisyah menunaikan umrah DIY ialah tahun lalu secara berkumpulan, selepas mendapati kosnya jauh lebih rendah berbanding menggunakan pakej agensi.
Menurut penyanyi lagu Hanya Di Mercu itu, kos keseluruhan hanya sekitar RM3,500 seorang.
“Saya mula tahu tentang umrah DIY apabila Datin Aisyah menawarkannya pergi bersama kumpulan bawah Izz Ikhwan. Menunaikan umrah secara DIY adalah satu pengalaman berbeza berbanding mengikuti pakej agensi pelancongan yang mencecah paling minimum RM6,000 untuk seorang.
"Bagi saya, umrah DIY ini satu peluang yang sangat bagus buat mereka yang tidak cukup wang tapi mahu menunaikan umrah. Iyalah, biasanya kita selalu dengar alasan orang lain kewangan tak mencukupi untuk ke sana.
"Dengan adanya umrah DIY, tiada alasan lagi untuk menjadi ‘tetamu Allah’ kerana kosnya lebih rendah,” katanya kepada Gempak.
Ayu berkata demikian ketika ditemui pada Anugerah Malam Gala Izz Ikhwan Travel Empire yang diadakan di Mines Beach Resort, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Ayu dijadualkan menunaikan umrah DIY sekali lagi pada November ini dan menyifatkan pengalaman tersebut memberi lebih banyak kebebasan kepada jemaah.
“Antara perkara yang saya suka tentang umrah DIY ini adalah boleh merancang jadual sendiri. Masa lebih fleksibel membolehkan saya melakukan lebih banyak ibadah sebab tak terikat dengan jadual.
"Selain itu, kos yang lebih jimat dari menggunakan agensi turut menarik minat saya. Mudah untuk saya memilih hotel dan restoran mengikut bajet yang saya ada,” katanya.
Sementara itu, Datin Aisyah Ghazali atau mesra disapa Asha, menjelaskan bahawa umrah DIY memerlukan persediaan rapi agar ibadah berjalan lancar dan selamat.
“Walaupun tanpa menggunakan agensi, anda yang mahu buat umrah DIY boleh membuat persiapan sendiri. Antaranya adalah memastikan dokumen seperti pasport sah digunakan sekurang-kurangnya enam bulan, lengkapkan vaksinasi meningitis dan COVID-19 (jika masih diperlukan), serta dapatkan Sijil Vaksin Antarabangsa (ICV).
"Bukan itu sahaja, anda perlu dapatkan visa umrah atau visa pelancong secara digital melalui platform rasmi dan pilih syarikat penerbangan serta tempah tiket ke lapangan terbang Jeddah (JED) atau Madinah (MED) mengikut bajet anda.
"Persediaan lain yang perlu dibuat adalah seperti menyediakan pakaian yang sesuai dengan cuaca panas, bawa barangan peribadi penting seperti sandal, pelindung matahari, dan ubat-ubatan,” jelasnya.
Asha turut menambah bahawa Izz Ikhwan Travel Empire berperanan membantu menyampaikan maklumat dan panduan kepada kumpulan yang memilih konsep umrah DIY agar perjalanan mereka lebih teratur dan selamat.
Dalam majlis Malam Gala Izz Ikhwan Travel Empire, seramai 50 ejen pelancongan diraikan bersempena ulang tahun ke-11 syarikat itu dalam industri pelancongan.
Acara tersebut turut dihadiri oleh Penaung Izz Ikhwan Travel Empire, Datuk Ikhwan Lutfi Zakaria, Datuk Zaifrina Zainuddin, serta Datin Normala Samsudin yang juga Pengarah Kumpulan Mines Beach Resort.
Majlis turut diserikan dengan sesi solidariti dan doa buat rakyat Palestin, sebagai tanda sokongan terhadap mereka yang sedang ditindas oleh rejim Zionis.