Sekilas
- Ayda Jebat menjelaskan lagu baharunya, Kentoot, sebenarnya mengisahkan tentang hubungan toksik dan bukan berkaitan membuang angin.
- Judul lagu itu dipilih selepas suaminya, Nabil Mahir, mencadangkan untuk elak guna perkataan "toksik" yang dianggap terlalu biasa.
- Muzik video Kentoot yang diarahkan oleh Nabil menerima sambutan positif dengan 97,000 tontonan dalam masa lima hari.
Penyanyi, Ayda Jebat berkongsi makna di sebalik tajuk lagu baharunya yang berjudul Kentoot.
Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, lagu tersebut bukanlah berkait rapat dengan membuang angin tetapi ianya mengisahkan tentang hubungan toksik dalam percintaan.
Ujarnya, idea untuk meletakkan lagu tersebut sebagai Kentoot terhasil selepas suaminya, Nabil Mahir tidak mahu menggunakan perkataan 'toksik" sebagai tajuk kerana dianggap terlalu biasa.
"Sebenarnya lagu ini mengisahkan tentang hubungan toksik. Waktu saya tulis lirik lagu ini suami saya tanya, "Apa tajuk yang sesuai nak digunakan? Takkanlah kita nak letak toksik.
"Saya terus macam terfikir untuk letak kentut tapi diejakan dengan ejaan 'Kentoot'.
"Dari situlah tercetusnya idea tajuk lagu terbaharu saya yang membawa maksud toksik," katanya kepada Gempak.
Ayda berkongsi perkara tersebut ketika ditemui usai program MeleTOP di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Ketika ditanya mengenai respon positif mengenai muzik video lagu tersebut, ibu kepada dua orang anak ini menzahirkan ucapan terima kasih atas penerimaan baik daripada peminat.
Malah, Ayda turut menitipkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang terlibat dalam pembikinan muzik video tersebut.
"Muzik video diarahkan sendiri oleh suami saya, Nabil Mahir. Dan seperti biasa, kami hasilkan muzik video yang berwarna-warni seperti yang kami hasilkan sebelum ini juga.
"Terima kasih kepada anda yang memberikan respon positif terhadap muzik video lagu terbaharu saya.
"Terima kasih juga kepada semua yang terlibat dan kepada yang belum dengar lagu ini, jangan lupa dengar tau," ujarnya.
Pada Sabtu lalu, Ayda melancarkan muzik video Kentoot dan setakat artikel ini ditulis, muzik video tersebut telah mencapai 97,000 tontonan dalam masa lima hari tayangan.