Sekilas
- Atu Zero bersedia berjumpa abangnya, Sharif, untuk selesaikan konflik, tetapi syaratnya Sharif perlu minta maaf dengan ibu mereka terlebih dahulu.
- Atu menganggap video permohonan maaf Sharif hanya sekadar hasrat tanpa tindakan lanjut kerana Sharif belum menghubunginya secara langsung.
- Walaupun ada ketegangan, Atu rindu untuk berkumpul dengan abangnya dan berharap ada sinar baharu untuk kumpulan mereka di masa depan.
Pelawak, Atu Zero memaklumkan dia terbuka untuk berjumpa dengan abangnya yang juga ahli kumpulan iaitu Sharif bagi meredakan kemelut antara mereka.
Walau bagaimanapun, Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Dol Sharif menegaskan bahawa abangnya itu perlu berjumpa dan memohon maaf dengan ibu mereka terlebih dahulu.
"Datanglah minta maaf,tetapi jangan datang jumpa saya. Datang jumpa mak saya sebab mak sudah tahu cerita ini.
“Minta maaf dengan mak. Kalau mak maafkan, saya pun maafkan," katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai video permohonan maaf yang dibuat Sharif baru-baru ini, Atu mengakui ada menonton namun menganggap ia sekadar hasrat tanpa disusuli dengan sebarang tindakan daripada abangnya itu.
Dakwa Atu, sehingga ke hari ini dia masih belum dihubungi Sharif selepas tularnya video permohonan maaf tersebut.
"Saya hanya tengok separuh sahaja video itu pun sebab ada orang 'tag' nama saya. Tiada apa-apa tindakan sebab dia tidak hubungi saya pun.
"Yalah, dia yang buat salah. Saya tidak buat salah pun, tapi sebagai adik, kita kena maafkan. Kalau tidak, lambat masuk syurga nanti, jangan main-main," ujarnya.
Ketika ditanya dakwaan Sharif yang mengatakan mereka ada terserempak ketika bermain bola, Atu bagaimanapun menafikan perkara tersebut.
Dakwa Atu, dia ada mencuba menegur Sharif ketika menghadiri sebuah majlis namun abangnya itu menghilang.
"Saya tegur, tapi dia menghilang. Takkan saya nak tegur dinding.
Yeke ada jumpa (di padang bola)? Tak tahulah kalau hijab saya tertutup kan," katanya.
Walau bagaimanapun, anak ketiga daripada tiga adik-beradik ini mengakui timbul rasa rindu dalam dirinya untuk berkumpul bertiga.
"Kalau berkumpul untuk saling menyakitkan hati, saya tak rindu. Tapi kalau berkumpul secara baik, mestilah rindu.
”Insya-Allah, saya juga mengharapkan ada sinar baharu sebab orang ramai pun masih menunggu kemunculan kami," ujarnya.
Terdahulu, perkongsian Sharif mengenai kisah hidup Atu yang dikatakan hampir terjerumus dengan aktiviti penyalahgunaan dadah kerana salah pilih kawan dalam satu temu bual podcast dikatakan menjadi antara punca kepada konflik mereka.