Skip to main content

Hiburan

Astro Shaw Intai Kerjasama Dengan Pembikin Filem Muda, Filem Kudrat Bakal Buka Tirai Astro Shaw Cinematic Universe

Jastina

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama bersama bakat anak tempatan seperti Sofyank dan Nicholas Chin dalam usaha meningkatkan kualiti penerbitan filem tempatan pada masa akan datang.

Menurut Jastina, Astro Shaw sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pembikin filem muda selagi mereka berkongsi visi dan hala tuju yang sama dalam memajukan industri perfileman tempatan.

“InsyaAllah, kami sentiasa meneroka peluang untuk bekerjasama dengan Sofyank, Nicholas dan semua bakat lain. Seiring dengan perjalanan masa, kami akan berkongsi lebih banyak perkara mengenainya.

"Seperti yang pernah kami sebut sebelum ini, Astro Shaw Cinematic Universe ini bersifat terbuka. Kami membenarkan kemasukan watak baharu dan pencipta baharu untuk bergabung dengan perancangan yang telah kami susun. Sebab itu kami sentiasa mencari pembikin filem generasi baharu, dan inilah juga sebab ‘First Look’ ini dihasilkan oleh generasi pembikin filem muda,” katanya.

Mengulas lanjut mengapa nama Sofyank dan Nicholas menjadi antara pilihan utama, Raja Jastina menyifatkan mereka sebagai pembikin filem yang mempunyai visi dan pemikiran selari dengan Astro Shaw.

“Kenapa Sofyank? Kenapa tidak? Bila kami melihat Sofyank, Nicholas dan rakan-rakan lain, mereka sebenarnya adalah pilihan utama kami. Kami mencari pembikin filem yang berkongsi visi dan minda yang sama. Ia tentang mengangkat kualiti produksi filem tempatan ke tahap seterusnya.

“Walaupun mereka masih muda, kemahiran dan kepakaran mereka telah berkembang dari masa ke masa. Kisah-kisah yang mereka hasilkan serta kualiti kandungan yang ditampilkan sangat mengagumkan. Kami merasakan ia satu pilihan yang semula jadi untuk bekerjasama dengan mereka," ujar Jastina.

Dalam pada itu, Jastina turut mendedahkan bahawa karya pertama yang bakal diperkenalkan sebagai sebahagian daripada perancangan ASCU ialah filem Kudrat yang dijadualkan untuk ditayangkan pada Oktober akan datang.

“Insya-Allah, bermula hari ini, cerita pertama yang akan anda saksikan ialah Kudrat. Filem ini akan dilancarkan pada Oktober nanti dan ia akan menjadi permulaan kepada perjalanan seterusnya,” tambahnya.

Must-Watch Video

Advertisement