Sekilas
- Aqasha berkongsi pengalaman perbualan bermakna bersama Allahyarham Loloq yang meninggalkan kesan mendalam padanya.
- Arwah Loloq pernah memberitahu Aqasha bahawa dia ada ‘barang’, yang bermaksud bakat, kebolehan, atau semangat untuk berjaya.
- Aqasha menasihatkan mereka yang ingin menceburi industri hiburan supaya kenal pasti kekuatan dan kelebihan diri terlebih dahulu sebelum mengejar perhatian.
Pelakon, Aqasha mengimbas kembali satu perbualan istimewa bersama Allahyarham Loloq yang sehingga kini masih diingatinya.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Aqasha berkata perbualan tersebut meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.
Menurut Aqasha, arwah Loloq pernah menyatakan bahawa dirinya memiliki ‘barang’, namun ketika itu dia tidak memahami maksud sebenar istilah berkenaan kerana baru berusia 23 tahun.
“Dulu sewaktu di set Man Laksa aku dan arwah Loloq pernah bersembang dan ia adalah perbualan yang deep untuk aku yang berusia 23 waktu tu.
“Lalu beliau berkata pada aku…”lu ada itu barang”. Dulu aku tak tahu apa maksud ‘barang’,” kongsinya.

Bagaimanapun Aqasha menjelaskan, istilah tersebut sebenarnya merujuk kepada keistimewaan atau nilai yang dimiliki seseorang, sama ada dalam bentuk bakat, kebolehan mahupun semangat untuk berjaya.
“Rupanya ertinya boleh jadi ‘talent’ atau ‘kebolehan’ atau ‘drive’. Maka aku guna terma ‘barang’ sampai sekarang,” maklumnya.
Disebabkan itu juga, Aqasha berpendapat individu yang bercita-cita untuk berada dalam industri hiburan perlu terlebih dahulu mengenal pasti kekuatan dan kelebihan yang ada pada diri mereka.
“Sekarang gua tanya lu. Lu suka perhatian? Nak jadi artis? Lu kena ada itu barang. Cari dulu.
“Kenal apa barang yang lu ada. Jangan jadi gila perhatian but you have nothing worthy,” jelasnya.