Sekilas
- Pelakon Andy Teh membawa ibu bapanya melawat set penggambaran filem aksi terbaharunya, Black Ops, buat pertama kali dan berkongsi momen tersebut di Instagram.
- Bapanya terharu menonton babak dramatik lakonan Sharnaaz Ahmad, manakala Andy menasihati orang ramai supaya menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.
- Filem Black Ops adalah hasil kerjasama produksi Malaysia dan Hong Kong, menampilkan barisan pelakon popular dan dijangka menjadi filem aksi yang dinantikan tahun ini.
Pelakon Andy Teh berkongsi momen istimewa apabila berpeluang membawa ibu bapanya buat pertama kali melawat set penggambaran filem aksi terbaharu lakonannya, Black Ops.
Menerusi perkongsian di Instagram, Andy memuat naik sebuah video memaparkan dirinya memimpin tangan ibu bapa ketika berada di set.
Menurut Andy, peluang tersebut amat bermakna memandangkan ibu bapanya selama ini sering tertanya-tanya mengenai jadual kerjanya yang panjang di lokasi penggambaran.
“Ini kali pertama ibu bapa saya melawat set penggambaran saya.
“Saya tahu mereka selalu tertanya-tanya tentang waktu kerja saya yang panjang, jadi kali ini saya jemput mereka kerana kebetulan mereka berada berdekatan. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Andy turut berkongsi bahawa bapanya tidak dapat menahan emosi apabila menyaksikan lakonan penuh penghayatan oleh pelakon Sharnaaz Ahmad dalam salah satu babak dramatik filem tersebut.
“Ayah saya menitiskan air mata apabila melihat Sharnaaz Ahmad menjayakan babak emosinya di set,” ujarnya.
Dalam pada itu, Andy menitipkan pesanan agar orang ramai lebih menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.
“Sayangi mereka selagi masih ada. Walau apa pun yang berlaku, mereka tetap ibu bapa kita. Tak perlu tunggu hari lahir, hari raya, Hari Ibu atau Hari Bapa baru nak luangkan masa bersama atau ajak makan.
“Hargailah setiap detik yang kita ada kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok,” jelasnya.
Menerusi perkembangan lain, Andy bakal muncul dalam filem Black Ops, filem kerjasama rentas negara melibatkan produksi Malaysia seperti Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, dan GSC, bersama syarikat penerbitan tersohor Hong Kong, One Cool Films milik bintang terkenal Louis Koo.
Antara bintang yang menjayakan filem ini adalah, Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Aaron Aziz, Hisyam Hamid, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq, Benjamin Tan dan ramai lagi.
Black Ops mengisahkan tentang seorang anggota pasukan Black Ops, Johan didakwa dalam pembunuhan isterinya dan kehilangan anak perempuannya, dia terpaksa berpaling menentang pasukannya sendiri untuk mendedahkan konspirasi berkuasa serta menuntut kembali kehidupannya.
Dengan skala produksi yang luar biasa, barisan kreatif antarabangsa, serta kekuatan jalan cerita dan aksi yang dijanjikan, Black Ops bakal menjadi sebuah filem yang bakal dinantikan tahun ini.