Sekilas
- Penyanyi Andi Bernadee dimasukkan ke hospital akibat masalah hyperthyroidism yang menyebabkan simptom seperti degupan jantung laju, sesak nafas, dan penurunan berat badan mendadak.
- Keadaan Andi bertambah serius apabila ulser di tekaknya menyukarkan dia menelan dan mengalami demam kuat serta perlu menerima pelbagai jenis ubat termasuk steroid dan antibiotik.
- Andi kini menunjukkan perkembangan positif dan akan menjalani rawatan ubat selama enam bulan hingga setahun, walaupun punca penyakit autoimun yang dialaminya masih belum diketahui.
Penyanyi Andi Bernadee memaklumkan dirinya dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah kesihatan serius melibatkan hyperthyroidism.
Perkongsian tersebut dimuat naik Andi menerusi Instagram Story, di mana dia menjelaskan simptom-simptom yang dialami.
Menurut Andi, antara gejala yang dirasai termasuk degupan jantung yang sangat laju (palpitations), sesak nafas, penurunan berat badan mendadak, tangan bergegar serta rasa seperti diserang panic attack.
“Aku ada simptom Graves disease.
“Aku ada palpitations, heart rate memang tinggi.
“Tiba-tiba tengah tidur pun boleh terjaga sebab jantung laju.
“Aku ada shortness of breath… rasa tak puas tarik nafas.
“Berat badan turun, tangan shaky tremor, rasa macam anxiety,” katanya.
Penyanyi berusia 33 tahun itu turut memaklumkan dirinya tidak tahan berada di kawasan panas sejak sekian lama dan perkara itu dipercayai berkait dengan masalah tiroid yang dialaminya.
Keadaan Andi bertambah serius apabila hormon tiroid menyerang bahagian tekaknya sehingga dipenuhi ulser, menyebabkan dia hampir tidak boleh menelan.
“Yang buat aku masuk hospital adalah hyperthyroidism.
“Ulser ni penuh… semua ni ulser.
“Aku tak boleh telan air liur, tak boleh minum air.
“Minum pun rasa macam kena siat.
“Makan pun kena tiga step,” jelasnya.
Tambah Andi, dia turut mengalami gejala demam kuat sehingga menggigil dan meracau, selain perlu menerima pelbagai jenis ubat termasuk steroid, hormon, antibiotik dan ubat kebas.
Bagaimanapun, dalam video sama, Andi memaklumkan keadaan kesihatannya menunjukkan perkembangan positif.
“Day 3 aku getting better… better, better. Aku akan makan ubat enam bulan ke setahun. Hopefully semua okay,” katanya.
Pelantun lagu Satu Peluang itu turut memaklumkan penyakit yang dialami adalah sejenis penyakit autoimun, namun puncanya masih tidak dapat dikenal pasti.
“Aku tak tahu dapat daripada mana. Mungkin juga daripada keturunan. Tapi, bila aku tanya mak aku, dan family dia, bapak aku, semua-semua. Mereka cakap tak tahu, macam tak ada je. dan-dan tak nak mengaku semua,” katanya.
Sumber: Instagram