Sekilas
- Amira Othman menjelaskan babak hamil dalam video muzik 'Bincang Raya' hanyalah elemen jalan cerita dan tiada kaitan dengan dirinya yang sebenar.
- Sejak awal perkahwinan, Amira sering menerima komen mengenai 'baby bump', namun dia dan suami akan berkongsi berita kehamilan jika benar berlaku.
- Video muzik 'Bincang Raya' telah dilancarkan secara rasmi di YouTube dan Amira berkahwin dengan Fattah Amin pada September tahun lalu.
Penyanyi dan pelakon Amira Othman menjelaskan babak memperlihatkan dirinya sedang hamil dalam video muzik lagu ‘Bincang Raya’ tidak ada kena mengena dengan dirinya.
Amira atau Nadia Amira Othman, 33, menjelaskan babak tersebut sekadar elemen jalan cerita yang dirancang bagi menambah kejutan dalam video muzik lagu berkenaan.
Kata Amira, sejak awal perkahwinannya lagi dia sering menerima komen daripada orang ramai yang mendakwa kelihatan seperti mempunyai ‘baby bump’.
“Babak tu tak ada kena mengena (hamil). Saya pun tanya suami kenapa buat macam tu. Kami cuma nak buat babak plot twist sikit. Tak ada bagi hint apa-apa pun.
“Daripada awal lagi saya kahwin memang orang cakap nampak baby bump. Kalau memang benar kami akan kongsikan (berita kehamilan),” katanya kepada Gempak.
Amira berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media pelancaran muzik video Bincang Raya yang diadakan di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, isteri kepada aktor Fattah Amin ini memberitahu dia dan suami akan berkongsi dengan peminat sekiranya ada berita gembira tentang kehamilannya.
“Insya-Allah kalau ada perkara baik, waktu yang baik dan bersesuaian kita akan kongsikan. Setiap kali kita nak kongsi apa-apa sudah tentu kami fikirkan tentang keluarga dan nasihat-nasihat orang-orang alim ulama.
“Lagi pun bukan kita nak sembunyikan apa-apa cuma bergantung kepada keadaanlah,” ujarnya.
Video muzik Bincang Raya mula ditayangkan secara rasmi pada pukul 7 malam Isnin di saluran YouTube.
Untuk rekod, Amira mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada 14 September tahun lalu.