Skip to main content

Selebriti

Amad Semakin Sihat, Sedia Kembali Menyanyi – “Saya Tak Trauma…”

Amad makin sihat, tak trauma

Penyanyi, Ahmad Dayyan meluahkan rasa syukur apabila kesihatannya kini semakin baik dan sudah mula kembali aktif dalam dunia nyanyian selepas melalui tempoh rehat sebelum ini.

Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Amad bagaimanapun berkata, kejadian yang dilalui sebelum ini tidak akan sesekali mematahkan semangatnya sebagai seorang anak seni.

Advertisement

“Alhamdulillah saya sudah semakin sihat dan saya sudah boleh menyanyi macam biasa.

“Buat masa ini saya tidak rasa trauma untuk membuat mana-mana persembahan,” katanya.

Amad berkat demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album Tradisional ibu saudaranya iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Gema Bumantara, yang berlangsung di TGV Pavilion Bukit Jalil, pada Selasa.

Sementara itu, ibunya yang juga merupakan penyanyi, Siti Sairah juga turut bersyukur melihat perkembangan positif Amad.

Kata Sairah, dia memilih untuk tidak lagi bercakap tentang perkara yang telah berlalu bagi mengelakkan sebarang salah faham atau spekulasi lain.

“Alhamdulillah, Amad semakin sihat dan saya rasa anda semua telah melihat sendiri perkembangan Amad. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan mengambil berat tentang dia.

“Benda yang lepas saya ingin biarkan berlalu sebab kalau kita bercerita lagi mengenainya, mungkin akan ada spekulasi yang lain.

“Yang penting sekarang adalah masa depan Amad dan anak saya. Saya mahu melihat ke hadapan.

“Kita ini umat Islam. Apa yang berlaku kita ambil sebagai iktibar dan belajar untuk masa depan diri sendiri dan anak-anak,”jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai karier Amad, Sairah berkata pihaknya tidak menolak sebarang tawaran persembahan, namun keutamaan akan diberikan kepada pelajaran.

“Sekiranya ada tawaran persembahan, kita akan tengok juga sekiranya tidak mengganggu pelajarannya. Insya-Allah boleh difikirkan lagi,” katanya.

Ditanya mengenai penyertaan dalam pertandingan nyanyian lain selepas ini, Sairah menjelaskan mereka belum merancang apa-apa selepas menamatkan program Talk To My Manager (TTMM) baru-baru ini.

“Saya tidak pasti, bila sebut tentang pertandingan mungkin sebab kita baru sahaja habis Talk To My Manager.

“Buat masa sekarang ini Amad kena rehat dulu. Mungkin sudah ada perancangan lain untuk dia nanti.

“Apa yang penting sekarang ini, saya nak semua orang terus mendoakan Amad,” ujarnya.

Terdahulu, Amad sebelum ini mengejutkan peminat  apabila secara tiba-tiba jatuh sakit dan rebah di atas pentas ketika sesi persembahan secara langsung pada malam Grand Finale TTMM.

Insiden tersebut mengejutkan ramai pihak dan menimbulkan kebimbangan tentang tahap kesihatannya.

Must-Watch Video

Advertisement