Selepas melalui pelbagai episod kontroversi, penceraian dan turun naik dalam kehidupan peribadi, penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz, kini memilih untuk menikmati fasa kehidupan yang lebih tenang dan membahagiakan.
Menurut Aliff, walaupun ramai yang tertanya-tanya sama ada dia sudah mempunyai pengganti atau tidak, fokusnya ketika ini adalah untuk memperbaiki diri dan mencari ketenangan hidup.
Advertisement
“Kalau nak tanya saya dah jumpa pengganti ke? Jawapannya belum.
“Tapi apa yang boleh saya katakan, sekarang saya berada dalam satu fasa yang membahagiakan. Saya rasa gembira dan ingin terus memperbaiki diri.
"Saya mahu menjadi insan yang lebih baik dalam lingkungan yang ada sekarang. Alhamdulillah, itu sahaja,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Aliff berkata dia enggan terlalu mengulas hal peribadi kerana tidak mahu kenyataannya menjadi bahan perbualan yang tidak perlu.
“Saya rasa soalan tu pun tak perlu dijawab panjang. Ramai di luar sana pun mungkin rasa benda ini bukan sesuatu yang penting untuk tahu.
“Saya jawab sebab kawan-kawan media bertanya, tapi pada masa sama saya tak nak menjawab benda yang akhirnya akan jadi buah cakap yang tak perlu. Macam itulah insya-Allah,” ujarnya.
Untuk rekod, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Bella Astillah pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna.
Pasangan itu disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024, selepas pernah berpisah buat kali pertama pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.