Sekilas
- Ajak Shiro melawat pelawak dan pengacara Shamsul Ghau Ghau di Hospital Serdang dan berkongsi perkembangan kesihatannya di TikTok.
- Shamsul mengalami masalah daya ingatan selepas pembedahan akibat pendarahan beku di otak dan memerlukan sokongan orang sekeliling untuk membantu mengingatkan dan menyegarkan ingatannya.
- Keluarga dan rakan artis menerima sumbangan selepas kos pembedahan yang tinggi, dan Ajak mengajak orang ramai mendoakan kesembuhan Shamsul.
Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro berkongsi momen dirinya melawat pelawak dan pengacara, Shamsul Ghau Ghau di Hospital Serdang.
Menerusi perkongsian di TikTok, Ajak memuat naik video dirinya yang melawat Shamsul sambil berkongsi perkembangan terkini mengenai kesihatan selebriti yang mesra disapa Pak Su itu.
Kongsi Ajak, Shamsul memerlukan bantuan dan sokongan daripada orang sekeliling selepas daya ingatannya mula merosot selepas menjalani pembedahan.
“Pak Su tak berapa ingat, kita kena ingatkan dia dan bercerita dengan dia.
“Surah pun Pak Su kena recall semula. Waktu-waktu begini, orang sekeliling kena main peranan bantu Pak Su refresh semula ingatan dia,” kongsi Ajak.
Dalam pada itu, pemilik nama Mohd Hanaffi Razak ini meminta orang ramai menitipkan doa agar Shamsul segera sembuh dari sakit yang dialaminya.
“Semoga Allah kembalikan daya ingatan yang kuat buat Pak Su Shamsul.
“Ajak minta tolong followers Ajak yang ramai-ramai ini kita doakan Pak Su ye,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Shamsul selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang selepas mengalami pendarahan beku pada bahagian otak.
Maklumat tersebut dikongsikan rakan artis, aktres Sheila Mambo selepas menerima berita daripada isteri Shamsul sendiri.
Sebelum ini, isteri kepada Shamsul berkongsi bahawa dia hampir terduduk dan berputus ada selepas kos pembedahan membabitkan suaminya dianggarkan sebanyak kira-kira RM25,000.
Walau bagaimanapun, pemilik nama Sharifah Azrinah Syed Ibrahim tersentuh ramai sahabat dan insan prihatin tampil menghulur sumbangan.
Sumber: TikTok