Pelakon baharu, Aila Azizul, berkongsi pengalaman mistik yang dialaminya ketika menjalani penggambaran filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang.
Advertisement
Menurut Aila, kejadian tersebut berlaku ketika melakukan satu babak melibatkan pelakon Shasha Abedul, di mana watak berkenaan perlu membaca ayat kursi.
“Saya tak alami gangguan secara langsung, tapi ada sekali itu saya terdengar bunyi seperti jeritan dan ketawa wanita.
“Masa itu tengah shoot scene Shasha, dia baca ayat kursi tapi tak sempat habiskan. Pengarah, Abang Labu, berhentikan penggambaran untuk bagi arahan. Tapi tiba-tiba saya dengar suara perempuan ketawa, datang dari arah tandas,” katanya kepada Gempak.
Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Generasi Perfect 10 (GP10) itu, ketika kejadian dia bersama dua orang pembantu produksi (PA) namun hanya dia sahaja yang mendengar bunyi tersebut.
“Saya dengar dengan jelas, tapi PA yang ada dekat situ langsung tak beri reaksi. Mereka tengah whisper sesama sendiri. Lepas saya dengar suara tu, Abang Darul (kru produksi) tiba-tiba tanya, ‘siapa tu?’ tapi tak ada orang jawab,” ujarnya.
Lebih menyeramkan, apabila dia bertanya semula kepada kru berkenaan keesokan harinya, namun tiada siapa yang mengaku mendengar bunyi tersebut.
“Bila saya tanya balik Abang Darul, dia kata tak ada dengar apa-apa. Jadi saya pun tak pasti siapa sebenarnya yang bersuara masa tu,” katanya.
Filem Malam Terlarang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara dan turut menerima sambutan hangat dengan kutipan pembukaan melebihi RM3 juta.
Menampilkan Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri dan Aila Azizul, filem arahan Labu ini menggabungkan elemen seram dan mistik Nusantara yang mengangkat tema kekeluargaan, rahsia serta nafsu manusia.