Sekilas
- Azhan Rani mengakui sambutan Aidilfitri tidak sama selepas kehilangan bapanya pada 2016 dan kini lebih selesa beraya secara sederhana di rumah.
- Dia sudah tidak membeli atau memakai baju Melayu sejak pemergian bapanya, walaupun ramai yang menghadiahkan baju tersebut kepadanya.
- Azhan berkongsi bahawa arwah bapanya pernah berpesan supaya tidak membuat baju Melayu, yang kini dirasakannya seperti petanda pemergian abahnya.
Pelakon, Azhan Rani mengakui sambutan Aidilfitri tidak lagi sama buat dirinya sejak kehilangan arwah bapa, Abdul Rani Sabri pada tahun 2016.
Menurut Azhan, selepas pemergian bapanya, dia lebih selesa menyambut Aidilfitri secara sederhana di rumah dan tidak lagi keluar beraya.
“Selepas kehilangan arwah abah, saya tak pergi beraya dah sebaliknya hanya memilih untuk beraya di rumah saja.
“Kalau mak keluar pergi beraya, saya akan duduk rumah saja.
“Kadang-kadang saya rasa macam boleh tak kalau setiap tahun puasa saja, tak perlu beraya,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi lanjut, Azhan memaklumkan bahawa dia juga sudah tidak lagi membeli baju Melayu bersempena Aidilfitri kerana merasakan suasana itu tidak lagi sama selepas pemergian arwah bapanya.
“Waktu arwah abah ada memang kita satu keluarga akan pakai sedondon, tapi bila dia dah tiada, solat raya pun saya pakai t-shirt saja.
“Sejak 2016 kehilangan arwah abah, saya dah tak pakai baju Melayu.
“Saya ingat lagi sebelum dia meninggal, saya nak buat baju Melayu tapi arwah pesan jangan buat. Tapi saya tak terfikir langsung arahan itu seakan petanda dia nak pergi selama-lamanya,” katanya lagi.
Tambah Azhan, meskipun ramai yang menghadiahkan baju Melayu kepadanya, namun dia memilih untuk tidak menggunakannya.
“Saya memang tak beli baju raya dan kalau saya pakai baju Melayu pun hanya dalam televisyen saja.
“Nak cakap pasal baju Melayu, ramai orang hadiahkan kepada saya tapi tak terusik dan masih dalam kotak lagi,” ujarnya.
Sekadar info, bapa Azhan iaitu Abdul Rani Sabri menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas pada 21 Ogos 2016.