Penyanyi dan personaliti media sosial, Agy meluahkan rasa terkilan apabila gambarnya digunakan sebagai ‘content’.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Agy atau nama sebenarnya Muhammad Affizy Mohd Khairy menegaskan bahawa dia tidak memakai mekap setiap hari dan hanya mengenakan solekan atas tuntutan kerja.
Advertisement
“Okay guys, ramai sangat yang tag-tag saya dekat video orang tu mention saya segala bagai.
Saya rasa anda semua perlu stop sebab saya tidak pakai makeup setiap hari, ia bukan keperluan saya.
“Saya hanya pakai makeup bila kerja atau photoshoot saja, bukan setiap hari. Orang yang kenal saya tahu perkara itu. Hari ini pun saya tak pakai makeup, hanya pakai sunscreen saja,” jelasnya.
Agy dalam masa sama menegaskan bahawa dia tidak menolak teguran, malah terbuka untuk menerima nasihat dengan baik.
Agy turut menasihati agar teguran dibuat secara berhemah dan tidak menggunakan gambar orang lain sebagai bahan kandungan.
“Saya sangat menerima teguran, tak ada masalah pun tapi cara menegur tu, macam dia bagus sangat. Cara dia tu nampak bongkak.
“Nak tegur, boleh tapi janganlah pakai gambar orang.  Saya tak kenal dia, dia tak kenal saya.
Kalau betul nak tegur, datang DM saya.
“Saya tak pernah marah orang yang tegur secara baik,” ujarnya.
Terdahulu, personaliti media sosial Tareq Fit mencuri perhatian ramai selepas meluahkan pandangannya berhubung perubahan sikap segelintir lelaki zaman kini yang menurutnya semakin jauh daripada fitrah asal.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Tareq secara terbuka menegur golongan lelaki yang berpenampilan dan berkelakuan lembut seperti wanita, serta menganggap trend tersebut semakin membimbangkan.
Bagaimanapun, dalam video tersebut, Tareq telah menggunakan gambar penyanyi dan personaliti media sosial, Agy, sebagai contoh individu yang mengenakan solekan sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
 
     
 
                                       
                                       
                                       
                                      