Skip to main content

Hiburan

Ada Mulut Yang Perlu Disuap, Shamsul Ghau Ghau Sedia Terima Tawaran Lakonan - “Bila Saya Dah Okay, Saya Akan…”

Shamsul Ghau Ghau

Pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau mengakui tetap akan menerima tawaran kerja bagi menjana pendapatan buat keluarganya susulan pembedahan membuang darah beku di kepala pada Januari lalu. 

Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, 57, berkata sebagai ketua keluarga, tanggungjawab itu menjadi pendorong untuk terus positif dan kuat. 

“Saya akan terima tawaran (lakonan) dan saya akan bekerja jugalah. Saya ada anak-anak dan keluarga yang perlu disara sebab saya kahwin pun sudah lewat dan anak-anak pun masih kecil-kecil lagi. Jadi, saya kena kerja. 

“Tak mengapa, sebab saya rasa apa yang Tuhan bagi ini adalah yang terbaik untuk saya. Jadi saya terima. Jadi kalau kata esok ada kerja dan ada rezeki, saya bila saya dah okay, saya akan kerja balik,” katanya kepada Gempak. 

Shamsul berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin di Royale Chulan Kuala Lumpur, pada Khamis. 

Dalam pada itu, Shamsul juga tetap bersemangat meneruskan hidup  meskipun berdepan ujian kesihatan yang menjejaskan pergerakan serta memorinya.

Berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya, Shamsul bersyukur dia beransur pulih dan akan menghadiri pemeriksaan susulan pada 2 Mac depan. 

“Saya bukan sakit perut, tapi sakit bahagian otak. Ada ‘clot’ dan sekarang dalam proses pemulihan. Insya-Allah, peluang untuk sembuh sepenuhnya itu ada. Saya pun ada melakukan ‘brisk walk’ pada bulan puasa ini, kalau tak dapat lima kilometer (km), saya buat dua atau tiga km.

“Tempoh hari, doktor katakan apa yang jadi pada saya, satu kejutan dan saya perlukan tiga bulan untuk melihat perkembangannya. Tapi alhamdulillah, sekarang ini nak kata sihat sangat, tidaklah. Selepas berada di hospital selama enam hari, ini adalah kali pertama saya menghadiri acara di luar sebab isteri saya selalunya tak bagi saya keluar. Ke sini pun saya ditemani dua orang anak saya. Lagipun Yayasan Nurjiwa memaklumkan mahu memberikan sumbangan pada saya jadi saya datang. 

“Kalau di lokasi acara, ada kerusi untuk saya duduk berehat, insyaAllah boleh. Malah saya juga ada datang menziarahi Amyza Aznan ketika anaknya meninggal dunia baru-baru ini tapi saya duduk saja. Isteri saya saja ke kubur, saya tak dapat pergi,” ujarnya. 

Shamsul juga mengakui mengalami sedikit gangguan memori, namun tetap bersyukur ingatan jangka panjangnya masih baik.

“Tengok muka macam kenal, tapi nak ingat nama itu kena fikir dulu. Macam baru ini saya jumpa Azza Elite, saya ingat-ingat lupa, sama juga bila saya jumpa Noorkhiriah, saya ambil masa nak ingat nama,” katanya. 

Sementara itu, Shamsul turut meluahkan penghargaan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa atas keprihatinan mereka terhadap kebajikan dirinya dan juga penggiat seni yang diuji dengan masalah kesihatan.

“Sebelum ini ada dua orang wakil dari Yayasan Nurjiwa hadir berjumpa saya, jadi bila mereka datang, saya rasa saya perlu datang menghargai sumbangan mereka hari ini. Tapi sebenarnya, saya pun nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada semua yang datang melawat saya dan mendoakan kebaikan untuk saya,” tambahnya. 

Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin menganjurkan Majlis Iftar Jiwa Prihatin untuk menghargai jasa serta menyantuni golongan penggiat seni dan pengamal media yang sedang berhadapan dengan ujian hidup seperti masalah kesihatan.

Antara yang turut menerima sumbangan pada malam semalam adalah penggiat seni tanah air seperti Cico, Ayai, Elyana, Asheed, Jalil Hamid, Ann Ways, Dr Sam dan Harun Hashim.

Selain itu, suasana majlis turut diserikan dengan kehadiran serta penyampaian sumbangan kepada 120 orang anak yatim dan pelajar tahfiz dari Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Baitul Nurrawdhah, Rumah Titian Kaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbah Falah dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan.

 

Anda mungkin berminat dengan

Naelofar Iznik Sejadah

Naelofar Iznik Sejadah

YAN@YAN Blouse Muslimah Kain Cotton Sulam

YAN@YAN Blouse Muslimah Kain Cotton Sulam

ZOE ARISAH Qasine Chiffon Bawal 45

ZOE ARISAH Qasine Chiffon Bawal 45

Nur Food Kurma Ajwa Madinah AA (1kg) (Nur Food Kurma Ajwa Madinah AA (1kg))

Nur Food Kurma Ajwa Madinah AA (1kg) (Nur Food Kurma Ajwa Madinah AA (1kg))

Kerepek Ubi Pedas Basah 400g Tapioca Chips Flavour Syrup Sambal Chili 400g SIGNATURE DELIGHT

Kerepek Ubi Pedas Basah 400g Tapioca Chips Flavour Syrup Sambal Chili 400g SIGNATURE DELIGHT

Must-Watch Video

Advertisement