Sekilas
- Abby Abadi menjelaskan dia mula tuntut nafkah tertunggak daripada bekas suami, Norman Hakim, selepas 18 tahun tidak berbuat demikian kerana kos tuntutan yang tinggi pada 2008.
- Tuntutan nafkah hanya meliputi makan minum dan tempat tinggal anak-anak, manakala kos sekolah dikongsi bersama Norman dan bekas isteri Norman, Memey.
- Abby mengambil keputusan ini selepas melihat Norman kini berkemampuan dan mahu memastikan hak serta simpanan untuk masa depan anak-anak mereka.
Pelakon dan penyanyi Abby Abadi tampil menjelaskan mengenai tuntutan nafkah yang dituntut daripada bekas suaminya iaitu Norman Hakim.
Abby memberitahu dia pernah terfikir untuk menuntut nafkah anak-anak pada tahun 2008 namun terpaksa melupakan hasratnya kerana memikirkan bayaran membuka fail tuntutan pun mencecah ribuan.
“Setelah 18 tahun (ikut umur Baby Danisha) baru saya tergerak hati untuk tuntut nafkah yang tertunggak. Ini baru bermula, itupun bukan nafkah untuk semua tajuk.
“Hanya untuk nafkah makan minum dan tempat tinggal sahaja. Sekolah sama-sama. Memang dari bercerai (waktu tu Danish 5 tahun, Dania 3 tahun & Baby Danisha baru lahir) jagaan anak-anak memang tak pernah jadi isu.
“Sebab Norman dulu sibuk dengan shooting saja. Saya pernah juga nak guna lawyer untuk tuntutan selepas bercerai. Tapi tahun 2008 dulu, buka fail saja dah beribu.
“Sudahnya sekali jumpa saja dengan lawyer tu lepas itu terus lupakan sebab duit pun masa tu tak berapa nak ada,” kongsinya menerusi akaun TikTok.
Pada perkongsian yang sama, Abby memberitahu dia mengambil keputusan untuk menuntut semula nafkah tersebut selepas melihat Norman sudah berkemampuan.
“Dipendekkan cerita… kami baik saja dari mereka (Norman/Memey) dapat anak pertama lagi (13 tahun dulu). Sesekali keluar bersama, pergi bercuti sama-sama.
“Taraf hidup lebih kurang saja awal-awal dulu, jadi kalau berjalan ke apa-apa, bayar sendiri-sendiri. Kadang saya belanja, kadang Memey, Kadang Oman… gitulah ceritanya.
“Masa berlalu, tahu-tahu anak dah besar. Tahu-tahu Norman dan Memey dah berkemampuan lebih dari saya (lebih faham-dah kaya😝). Dan untuk dia tidak melupakan anak-anak yang dengan saya, saya berbunyilah ye sebab dia macam tak nampak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abby turut berkata kisahnya dengan Norman tidak akan berakhir memandangkan mereka mempunyai anak-anak bersama selain cerita menjadi perhatian media.
“Harap janganlah ada yang mengata, cakap tak habis-habis bla bla bla. Cerita saya dan Oman memang takkan habislah sebab kami ada anak-anak kan.
“Lepas itu anak pula dengan cerita-cerita yang menjadi perhatian media. Kerana itu jugalah tiba-tiba saya rasa menjadi satu keperluan untuk saya dapatkan hak-hak yang sepatutnya untuk saya, untuk masa depan anak-anak saya dan nak anak-anak saya ada simpanan sikit.
“Sebab kali ni saya rasa berdiam langsung tak membantu apa-apa. Keadaan pun berlalu begitu saja,” katanya.
Sumber - TikTok