Sekilas
- Datuk Aaron Aziz memaklumkan mata kirinya yang cedera akibat bola semasa bermain pickleball kini hampir pulih dengan pemulihan 80 peratus.
- Doktor memberitahu keadaan matanya semakin baik selepas menerima rawatan dan Aaron sudah discaj dari hospital.
- Aaron menganggap insiden itu sebagai peringatan untuk lebih menghargai nikmat penglihatan yang dikurniakan Allah.
Pelakon, Datuk Aaron Aziz memaklumkan keadaan mata kirinya yang cedera akibat terkena bola sewaktu bermain sukan pickleball kini sudah hampir pulih.
Aaron memaklumkan keadaan terkininya itu menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya.
Menurut Aaron, doktor memaklumkan bahawa keadaan matanya sudah menunjukkan pemulihan yang sangat baik selepas menerima rawatan.
“Alhamdulillah saya dah discharge. Doktor kata mata saya dah 80 peratus pulih. Jadi dari pengalaman ini saya rasa Allah cuba mengajar saya sesuatu.
“Allah ajar bahawa benda lebih teruk boleh berlaku pada penglihatan saya. Boleh jadi buta, boleh tak nampak. Kalau hilang satu mata, saya tak boleh syuting.
“Saya tak boleh cari rezeki atau pun teruskan kerja seperti biasa,” katanya.
Dalam masa sama, Aaron berkata dia menganggap insiden tersebut sebagai satu peringatan buat dirinya agar lebih menghargai nikmat penglihatan yang dikurniakan.
“Kiranya seperti Allah tutup satu mata, tapi Dia buka satu lagi mata untuk saya memperingatkan diri sendiri,” ujarnya.
Terdahulu, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz sebelum ini memuat naik video memaparkan imbasan (scan) bahagia mata yang tercerdera.