Sekilas
- Mila Jirin berkongsi kisah perjuangannya sebelum menjadi juara wanita pertama Akademi Fantasia 5, termasuk kegagalan sebelum ini dalam AF4 dan Bintang RTM.
- Kemenangan AF5 bukan sekadar populariti, tetapi menjadi titik perubahan untuk membantu keluarganya keluar dari kesusahan hidup.
- Sepanjang AF5, Mila menghadapi tekanan dan ketakutan, dengan ibu bapanya sanggup berkorban walaupun kewangan terhad untuk menyokongnya.
Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin mengimbau kembali perjalanan kehidupannya sebelum bergelar juara wanita pertama program realiti, Akademi Fantasia 5 (AF5).
Menerusi satu hantaran di Instagram, Mila atau nama lengkapnya, Norsyarmilla Jirin, kemenangannya di AF dahulu bukan sekadar populariti, sebaliknya menjadi titik perubahan buat keluarganya yang ketika itu berdepan kesusahan hidup.
Menurut Mila, sebelum menyertai AF5, dia pernah gagal dalam uji bakat AF4 selain tidak berjaya dalam pertandingan Bintang RTM.
“Ramai ingat malam saya menang tapi sebenarnya malam itu saya sedang cuba perjuangkan hidup keluarga saya.
“Sebelum AF5, saya gagal AF4. Bintang RTM pun tak dapat, bila nampak iklan AF5 saya hampir tak pergi.
“Tapi keluarga pujuk saya cuba lagi jadi saya pergi juga ke Alor Setar. Sesat, sampai lambat, nervous.
““Dalam hati cuma ada satu soalan, boleh ke aku?,” katanya.
Beberapa bulan kemudian, hidupnya berubah apabila kru Akademi Fantasia hadir ke rumahnya untuk mengumumkan dia berjaya terpilih sebagai peserta AF5.
Menurut Mila, ketika meninggalkan rumah menuju ke Kuala Lumpur, dia sudah memasang niat untuk menggunakan peluang tersebut demi membantu keluarganya keluar daripada kesusahan.
“Saya menangis. Saya tak percaya. Saya melompat gembira.
“Saya bukan pergi bawa impian glamour. Saya pergi bawa harapan satu keluarga,” ujarnya.
Sepanjang berada di dalam akademi, Mila mengakui dia sering berdepan tekanan dan ketakutan, lebih-lebih lagi apabila ibu bapanya tidak dapat hadir setiap minggu kerana kekangan kewangan.
Selepas tamat pertandingan, barulah dia mengetahui ibu bapanya pernah meminjam duit semata-mata mahu hadir menyaksikannya membuat persembahan di konsert mingguan.
“Bila duit habis, mereka sokong saya dari jauh,” katanya lagi.
Mila turut mengakui pada malam final, dia bertekad mahu bergelar juara bukan kerana mahu terkenal, tetapi demi mengubah kehidupan keluarganya.
“Kalau saya menang, mungkin hidup keluarga saya berubah.
“19 Mei 2007, saya jadi wanita pertama Juara AF. Ramai nampak trofi, saya nampak tanggungjawab. Mak, ayah, lepas ni biar saya pula jaga semuanya.” tambahnya.