Sekilas
- Filem aksi Tarung: Unforgiven kekal sebagai filem tempatan nombor satu dalam carta Top 10 Filem GSC Malaysia selama 14 hari berturut-turut.
- Filem arahan Razaisyam Rashid ini mengangkat naratif perjuangan hidup dengan jalan cerita sarat emosi dan dibintangi pelakon hebat seperti Mierul Aiman dan Zul Ariffin.
- Tarung: Unforgiven berjaya meraih kutipan RM15.7 juta selepas 11 hari tayangan dan pelakon akan mengadakan jelajah Zon Utara bermula 22 hingga 24 Mei.
Filem aksi Tarung: Unforgiven terus mencipta fenomena apabila kekal sebagai filem tempatan nombor satu dalam carta Top 10 Filem GSC Malaysia selama 14 hari berturut-turut tayangan.
Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan karya arahan Razaisyam Rashid itu masih mendapat sambutan hangat penonton sejak mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Mei lalu.
Tampil dengan tagline ‘kau cuma ayam sabung’, Tarung: Unforgiven mengangkat naratif perjuangan hidup dengan menjadikan kehidupan sebagai ‘gelanggang’ sebenar.
Filem terbitan ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu turut diperkukuhkan dengan jalan cerita sarat emosi hasil tulisan Amar Amir bersama Razaisyam Rashid.
Selain aksi intens dan visual sinematik, kekuatan filem tersebut turut didorong barisan pelakon hebat seperti Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz dan Sharifah Sakinah.
Tarung: Unforgiven sebelum ini dilaporkan berjaya meraih kutipan RM15.7 juta selepas 11 hari tayangan di pawagam.
Dalam masa sama, barisan pelakon filem tersebut juga bakal turun padang menerusi siri jelajah Zon Utara bermula 22 hingga 24 Mei ini bagi bertemu peminat.