Skip to main content

Berita

Terengganu Negeri Paling Bahagia!

terengganu_bahagia

Terengganu muncul sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pencapaian itu meletakkan Terengganu dalam kategori sangat bahagia sekali gus mencerminkan tahap kesejahteraan sosial yang tinggi di negeri berkenaan.

Advertisement

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Johor berada di tempat kedua dengan skor 8.08, manakala Negeri Sembilan di kedudukan ketiga dengan 8.01.

"Kluang, Johor mencatatkan skor kebahagiaan tertinggi di seluruh negara iaitu 9.83, diikuti Raub, Pahang (9.52) dan Mersing, Johor (9.50).

"Sebanyak 36 daerah di seluruh negara turut direkodkan berada dalam kategori sangat bahagia dengan skor antara 8.02 hingga 9.83," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, ini adalah kali pertama laporan MHI diterbitkan secara terperinci sehingga ke peringkat negeri dan daerah, membolehkan penilaian kebahagiaan dilakukan secara lebih bersasar berpandukan realiti lokaliti.

“MHI 2024 dibangunkan berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama iaitu fizikal, sosial, emosi dan spiritual," katanya.

Jelas Mohd Uzir, sebanyak 94 indikator dirangkumkan kepada 13 komponen kebahagiaan, menjadikan indeks ini alat statistik sosial yang komprehensif dan berimpak tinggi dalam menilai kualiti hidup rakyat.

Skor keseluruhan kebahagiaan rakyat Malaysia berada pada paras 7.60 yang meletakkan negara dalam kategori bahagia.

Perbandingan antara kawasan bandar (7.61) dan luar bandar (7.56) menunjukkan jurang kesejahteraan yang kecil, sekali gus mencerminkan keseimbangan pembangunan dan kualiti hidup.

Komponen keagamaan dan kerohanian menjadi penyumbang terbesar kepada kebahagiaan rakyat dengan skor 8.69.

Faktor keluarga pula berada di tempat kedua dengan skor 8.64, menggambarkan kedua-dua elemen ini memainkan peranan penting terhadap kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, komponen kebudayaan mencatatkan skor paling rendah iaitu 6.22, diikuti emosi dengan 6.40.

Walaupun masih dalam kategori bahagia, dapatan ini memberi isyarat bahawa aspek kesejahteraan emosi dan penghayatan budaya perlu diberi perhatian dalam dasar pembangunan sosial.

Dari segi demografi, wanita mencatatkan skor kebahagiaan lebih tinggi iaitu 7.62 berbanding lelaki (7.57).

Golongan muda berusia 15 hingga 19 tahun dilaporkan paling bahagia dengan skor 7.79, manakala kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas sedikit menurun kepada 7.54.

Tambah Mohd Uzir, dapatan ini membuktikan rakyat Malaysia kekal optimis dan memiliki daya tahan kolektif yang kuat dalam mendepani cabaran global.

"Indeks ini juga membantu pihak berkuasa merancang strategi lebih bersasar bagi meningkatkan kualiti hidup mengikut keperluan setiap negeri dan daerah," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement