Doktor perubatan, Dr Afif Mohd Ridzwan, mendedahkan kerap dikunjungi pelanggan yang mahu mendapatkan nasihat tentang pembedahan bariatrik.
Jelas Dr Afif, bagaimanapun ada antara individu yang menjalani prosedur pembedahan itu demi menjual produk menurunkan berat badan.
Advertisement
“Saya menerima ramai pelanggan klinik yang bertanyakan tentang bariatrik. Sebagai doktor, saya sampaikan maklumat yang betul dan mengakui kaedah ini amat bagus dalam penjagaan kesihatan.
“Cuma nasihat saya, apabila ada yang nak kurus sebab nak jual produk pelangsingan, saya tidak setuju dengan tindakannya.
“Nak buat bariatrik untuk kesihatan, itu dah bagus. Tapi apabila ada niat mahu jual produk turunkan berat badan selepas dirinya kurus, itu tidak patut.
“Bagi saya, jangan tipu orang lain mengatakan dirinya kurus sebab ambil mana-mana suplemen, sedangkan dia buat bariatrik,” katanya.
Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain ini juga menegaskan, bariatrik perlu dilakukan atas alasan yang munasabah.
“Selalunya orang yang layak untuk jalani beriatrik adalah mereka yang mempunyai BMI (Indeks Jisim Tubuh) 40 ke atas.
“Ada juga yang mempunyai BMI 35 hingga 40 tetapi menghidap kencing manis, darah tinggi yang teruk, obesiti dan Obstructive Sleep Apnea (OSA), mereka boleh jalani bariatrik.
“Selain itu, bagi mereka yang mempunyai BMI 35 ke bawah, namun tak boleh kawal nafsu makan sedangkan nak kurus, mereka juga layak untuk buat bariatrik.
“Tak kisahlah apa kategori sekalipun, mereka perlukan nasihat dan kebenaran dari pasukan bedah bariatrik.
“Golongan yang tak layak untuk bariatrik adalah mereka yang gemuk tetapi mempunyai masalah mental, ketagihan minuman alkohol, ada penyakit kritikal atau terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Bukan itu sahaja, mereka yang berminat untuk buat bariatrik tetapi sedar diri tak boleh ikut saranan doktor, baik lupakan sahaja hasrat itu,” tambahnya lagi.